Bijak rancang wardrobe, solusi maksimumkan gaya!

Perunding Imej Emi Idura berkongsi di Apa Kata Wanita RTM TV1

Memilih untuk mengenakan baju raya baharu ketika bersiaran secara langsung di program Apa Kata Wanita, RTM TV1  bagi membicarakan topik Fesyen Raya 2017 ,  tepat 2 minggu sebelum merayakan Syawal , benar-benar telah membuka mata rakan sosial media yang lain, bahawa sebenarnya kita tidak perlu malu dan ianya bukan satu kesalahan untuk mengulangi pemakaian yang sama berulang kali.

Apakah rahsianya untuk merancang bajet koleksi pakaian atau wardrobe anda dengan bijak ?

Ya, saya percaya setiap antara kita hari ini pastinya sangat teruja untuk memiliki sepasang baju baru. Secara tidak langsung, ia memberikan rasa kepuasan , keyakinan diri , menarik perhatian orang ramai , menaikkan semangat ketika terasa bosan, sedih, takut (berdiri di hadapan orang ramai untuk memberi ucapan atau mengendalikan program) dan sebagainya.Yang berkemampuan pasti memperuntukkan bajet membeli belah setiap bulan. Tidak mustahil ada juga yang membeli setiap minggu, setiap 6bulan mahupun setahun sekali dengan jumlah yang besar. Apapun pilihan , tabiat dan corak pembelian hari ini, sebenarnya ada beberapa perkara yang perlu anda ambil tahu dan praktikkan di sesi bershopping akan datang agar pembaziran tidak berlaku.

Membeli mengikut gerak hati

Pernahkah anda terperangkap antara situasi – melihat sesuatu pakaian yang anda minati dan harus miliki, tanpa berfikir panjang terus membelinya , dan kemudian dapati anda tidak langsung mempunyai keinginan untuk memakainya walaupun selepas beberapa bulan tersimpan di dalam almari? Percayalah, anda tidak keseorangan! Membeli tanpa perancangan ibarat melakukan perjalanan jauh tanpa GPS! Pilihan fesyen fad dan padanan yang trendy , berlainan fabrik dan warna yang tidak sesuai pula – akhirnya anda hanya memiliki selonggok pakaian yang tidak boleh disuaipadan antara sama satu lain , semaksimum tiga helai sepertimana strategi asas membeli belah. Saya bayangkan koleksi ini ibarat seperti makanan jajan, datang dengan pelbagai warna, bentuk dan perisa, membuatkan anda membeli tanpa rasa bersalah, dan akhirnya menyebabkan berat badan pula naik mendadak. Sama seperti pembelian mengikut gerak hati –dan tanpa perancangan teliti , bakal memberi kesan kepada anda tanpa di sedari!

Pakaian yang memerlukan cucian dan penjagaan khas

Tudung sutera ringan dipadankan dengan sut linen? Menarik! Tentunya anda tahu bahawa tudung sutera itu perlu dicuci dengan tangan , bukan? Dan sut linen itu pula perlu digosok ? Cara penjagaan, juga kos untuk menjaganya haruslah diambil kira sebelum membeli, bukan selepas memilikinya. Kerana jika sebahagian koleksi pakaian anda hari ini antara yang perlu “dibasuh dengan tangan” mahupun “cucian kering” , maka keputusan memilikinya adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan kerana kosnya yang agak tinggi dan masa yang perlu diperuntukkan untuk mencucinya.

Pakaian baru setiap majlis

Sambutan harijadi rakan. Majlis perkahwinan sepupu. Aqiqah anak saudara. Penyampaian anugerah di majlis PIBG sekolah. Dipanggil menjadi jemputan panel speaker suatu persidangan besar di Pusat Konvensyen di KLCC. Berikut merupakan antara momen penting dan bakal melakarkan sejarah dalam hidup , tentunya anda mahu kelihatan hebat. Jika anda menghabiskan lebih banyak wang untuk memiliki sesuatu rekaan tetapi hanya mengenakannya sekali dalam setahun – berbanding koleksi baju yang boleh dipakai berulang kali, setiap bulan atau sekurang kurangnya sekali dalam setiap tiga bulan , sesungguhnya ia mampu memberikan kesan kepada bajet anda, jadi jangan lakukannya!

Padanan mengikut personaliti gaya

Ramai yang saya percaya terlepas pandang akan strategi ini.

Baju kurung moden peplum , dengan bell sleeves bermanik rekaan dari jenama pereka terkenal,  diturunkan harganya dari RM600 kepada RM199 ? Wow, menarik dan hebat , bukan ? Mungkin ya, dan mungkin tidak. Jika anda lebih banyak menghabiskan masa di pusat gym selepas pulang dari kerja , tidak gemar bersolek , tidak gemar menggunakan mahupun memiliki aksesori fesyen, tidak gemar menggosok baju, percayalah, anda tidak mungkin akan memakai baju itu tadi walaupun ianya satu trend masakini. Wanita sebegini, mereka lebih gemar memiliki koleksi rekaan tradisional seperti kurung, kebarung, kurung Kedah , kurung Pahang yang ringkas berbanding rekaan moden dan in trend. Walaupun secara umumnya, penurunan harga sebanyak RM401 dari harga sebenar dianggap sebagai ‘rugi jika tidak dimiliki’ , tetapi jika ia tidak menepati personaliti gaya seseorang, percayalah, saya sarankan agar anda mempertimbangkan semula keinginan memiliki baju tersebut. Daripada ia disangkut di almari pakaian bertahun-tahun lamanya tanpa diusik, dan sebelum anda bercadang untuk memakainya pada tahun ketiga , fesyen tersebut sudahpun tidak diminati. Ingin menjadi pembeli yang bijak? Tinggalkan ia semula di rak pakaian, ya lupakan sahaja niat membelinya tadi.

Tidak begitu gemarinya, tetapi rekaan pereka terkenal, malah diskaun lebih 50% pula!

Saya pasti ia bukan sahaja berlaku kepada anda, tetapi saya juga secara peribadi.

“Rekaan pereka terkenal, diskaun pula lebih 50% – ruginya jika tidak memiliki!” bisik kata hati.

Pesan saya – jangan biarkan jenama dan label pereka fesyen itu mempengaruhi keputusan pembelian anda. Bayangkan jika anda tidak menggemari rekaan yang ada di depan mata, percayalah, tidak sesekali anda akan suka akan rekaan ini pada tahun-tahun akan datang.

Tanya diri sendiri,  bagaimana pula jika ianya bukan rekaan dan jenama pereka terkenal, adakah anda tidak teragak untuk memilikinya juga ? Jika tidak, lupakan sahaja. Simpan duit dan ruang wardrobe untuk sesuatu yang mampu milik dan tentunya yang sesuai dengan anda satu hari nanti.

Kos setiap penggunaan

Ini antara strategi bijak yang patut dipraktikkan oleh semua. Sebab itu perancangan rapi dalam mengenalpasti jenis majlis yang perlu dihadiri dalam setahun, jenis pekerjaan anda , industri perniagaan syarikat, kod pakaian ke pejabat, juga mesej dalam pemakaian sangat penting. Mulakan dengan menyenarai aktiviti mingguan, bulanan juga tahunan , dan bajet yang diperuntukkan baik untuk diri sendiri mahupun keluarga.

Tidak salah memiliki pakaian berjenama , label terkenal dengan harga yang mahal, tetapi haruslah bijak dalam mengenalpasti kos setiap kali penggunaan baju tersebut . Ia benar-benar membantu anda untuk membuat keputusan untuk memilikinya atau sebaliknya.

Sebab itu jugalah, anda sebenarnya tidak perlu malu untuk mengulangi pemakaian yang sama kecualilah kedudukan kewangan anda mengizinkan untuk memiliki seberapa banyak koleksi yang anda perlukan tanpa banyak persoalan. Praktikkan strategi wardrobe kapsul juga teknik warna-warna harmoni menghasilkan skim warna complimentary, analogous, monokromatik dan sebagainya untuk mendapatkan hasil maksimum dalam gaya.

Selamat mencuba!

 


Untuk mendapatkan khidmat runding penulis, sesi secara peribadi atau bercadang untuk mengadakan bengkel, juga program melibatkan latihan di peringkat jabatan atau korporat, sila hubungi beliau di :-

top2toestyliesta@gmail.com | +012 9023625

 

Bentuk badan vs rekaan baju raya serlahkan WOW!

Bukan saiz, tetapi bentuk dan jenis badan sendiri yang perlu dititikberatkan.

20100714-bradley-bayou-measurements-600x411

Pernahkah anda disaran begitu sebelum membeli belah baju raya pilihan?

Ya, saya tidak terperanjat jika ramai sebenarnya yang tidak tahu akan kepentingan mengenalpasti bentuk badan adalah paling utama sebelum memilih, mencuba dan membeli pakaian.

Dilahirkan dengan memiliki keistimewaan tersendiri, baik dengan kelebihan atau kekurangan diri masing-masing , wanita mempunyai saiz yang dikatakan standard secara umumnya, dari XS ke XL (atau XXXL bagi sesetengah kes). Tetapi menariknya yang perlu anda tahu – antara dua wanita yang bersaiz S , tidak semestinya mereka memiliki bentuk badan yang sama pada suatu masa. Contohnya, dibandingkan wanita A bersaiz S , seorang yang petite dan badan berbentuk pensel – di mana hanya ada sedikit lekuk di pinggang, tidak begitu ramping, kebanyakkan waktu seakan bentuk badan lelaki. Manakala wanita B pula, walaupun bersaiz S, tetapi badannya lebih cenderung kepada bentuk pir – secara visualnya kelihatan besar di pinggul, pinggang berlekuk dan kelihatan seakan berbentuk jam pasir (hourglass) tetapi tidaklah begitu ketara.

Walaupun baru memasuki minggu pertama bulan Ramadhan, saya pasti ramai yang sudah sibuk mencari-cari baju raya pilihan, baik secara dalam talian mahupun di pusat membeli belah. Selain mencari apa yang menjadi in trend pada masakini , saya lebih gemar menyarankan anda agar memilih berdasarkan kriteria-kriteria asas berikut

  1. Bentuk , jenis dan skala badan
  2. Reka bentuk dan fungsi (personaliti gaya)
  3. Bajet
  4. Warna
  5. Mesej pemakaian

Bentuk Badan

  • Bentuk jam pasir atau ‘hourglass’ – ini merupakan bentuk paling ideal kerana mengagihkan berat sama rata antara bahagian atas dengan bawah tubuh badan seseorang. Saiz dada dan pinggul adalah sama dengan pinggang yang lebih kecil dan ketara rampingnya, mempunyai perbezaan ukuran sehingga 10inci di antara ketiga-tiga ukuran tersebut . Dada 38”, pinggang 28”, dada 38”.
  • Bentuk pembaris atau ‘ruler’ – Ibarat namanya, mereka yang berbentuk ruler tidak mempunyai bentuk pinggang ramping yang ketara seperti si hourglass. Kebanyakkan waktu ukuran bahu dan pinggul adalah sama, dan kelihatan sedikit ‘boyish’.
  • Bentuk Pir – paling mudah untuk dikesan , badan yang berbentuk ‘pear’ memiliki visual pinggul yang lebih lebar dari saiz bahunya.
  • Bentuk Epal – Saiz pinggang yang lebih lebar dari dada dan pinggul. Menurut kajian yang dijalankan , majoriti mengatakan mereka mudah naik berat di bahagian perut berbanding pinggul. Inilah yang membezakan si epal dan si pir apabila mencari pakaian yang sesuai.
  • Bentuk Segitiga Terbalik atau ‘Inverted Triangle’ – Saiz bahu yang lebih lebar dari saiz pinggulnya. Mereka yang gemar bersukan seperti renang (dari sejak kecil) boleh membentuk siluet badan sebegini apabila dewasa.

Sesuai dengan topik kali ini yang memfokuskan kepada pilihan baju raya vs bentuk badan, saya kongsikan strategi pantas yang anda boleh aplikasikan ketika membuat pilihan baju nanti. Selaras dengan peredaran zaman, kini pelbagai busana rekaan klasik yang telah dimodenkan mula diterima oleh masyarakat. Dari rekaan tradisional seperti baju kurung pesak, baju kurung teluk belanga atau cekak musang, baju kurung Kedah, baju kurung Pahang, baju kurung peplum , tahun 2017 ini memperlihatkan trend baju kurung moden peplum yang telah diubahsuai dengan ropol-ropol atau ruffles di bahagian dada, pinggang, lengan baju malah di pinggul juga, selain rekaan ‘bell sleeves’ – yang saya telah kongsikan di artikel minggu lepas.

Bagi anda yang masih ingin mengekalkan keaslian berbaju melayu tradisional seperti kurung di hari raya nanti , berikut merupakan panduan ringkas yang anda boleh sesuaikan antara bentuk badan dan jenis baju kurung :-

Baju kurung pesak – ramai yang memilih baju kurung klasik tradisional ini semata-mata untuk menutup kekurangan bentuk badan seperti di bahagian perut atau pinggul yang besar. Walaupun strategi itu tidak salah, tetapi apa yang perlu anda tahu adalah, memilih baju kurung yang besar dari saiz sebenarnya membuatkan badan anda secara visualnya kelihatan bertambah besar, dan berat dari biasa. Belum lagi dilihat kepada pemilihan warna, skala motif dan kedudukannya , jenis fabrik dan tekstur kain.

kurung.png

Baju kurung cekak musang – jika anda tidak mengenakan hijab, memilih baju kurung cekak musang ini tidak sesuai buat mereka yang berleher pendek. Bagai impak memakai baju ‘turtle neck’, rekaan kurung cekak musang ini mampu membuatkan leher anda seakan lebih pendek jika digayakan.

kurungcekakmusang

 

Baju kurung Kedah – disebabkan rekaan bajunya yang agak singkat, dan kebanyakkan waktu dijahit hingga ke paras pinggul , bagi wanita yang mempunyai badan berbentuk pir amatlah tidak digalakkan sama sekali. Kekurangan bentuk badan di bahagian pinggul akan memberikan kesan efek yang lebih ketara jika anda memilih rekaan sebegini.

amar-amran-5040-8336511-1.jpg

Baju kurung Pahang – Rekaan sebegini sangat cantik dipakai untuk wanita hourglass juga berbentuk pembaris kerana ia menonjolkan lagi bahagian aset (pinggang) yang ramping. Tidak salah wanita pear ingin memilih kurung Pahang ini tetapi biarlah bahagian atas bajunya diserikan dengan sedikit hiasan atau aksesori yang lebih menonjol agar mata yang melihat tidak tertumpu kepada bahagian pinggul yang besar itu tadi. Mereka yang mempunyai bahu yang lebar (inverted triangle) juga akan kelihatan lebih cantik dengan rekaan Kurung Pahang ini, tetapi pastikan juga agar bahagian bahunya tidak dilengkapi dengan sebarang pelapik (padding) , agar pandangan visual kelihatan seimbang antara bahu dan pinggul nanti.

kurungpahang.png

Baju kurung Peplum – Menggunakan helah rekaan peplum untuk menyembunyikan perut adalah strategi yang sia-sia sahaja. Bagi yang berbentuk epal – ia membuatkan orang ramai lebih tertumpu kepada bahagian tersebut bukan ke arah lain. Wanita berbentuk jam pasir dan pembaris , akan mendapat lebih manfaat dari rekaan sebegini berbanding pir. Rekaan peplum yang kadangkalanya mencecah ke bahagian pinggul membuatkan mata akan tertumpu ke arah itu. Ya, mereka yang memiliki bentuk badan epal dan pir tidak digalakkan sama sekali.

000969100e971531fbf1a38b9ff5c4501465026971-lg

 

Nah, bagaimana ? Sedikit sebanyak perkongsian di atas agar membolehkan anda memilih rekaan baju raya kali ini dengan lebih bijak.

Untuk mendapatkan konsultasi selanjutnya tentang bagaimana pemilihan rekaan baju, warna , skala corak vs skala dan jenis badan ,  warna dan mesej berpakaian – jangan lupa hubungi team profesional kami yang sedia membantu anda untuk tampil, serlah bergaya malah lebih WOW di pagi Hari Raya nanti!