Tip 2 : Terang tidak semestinya pilihan terbaik

4.png

Soalan ini seringkali diajukan kepada saya (terutamanya ketika mengendalikan program latihan Kecemerlangan Pengurusan Imej dan Etiket Profesional) di jabatan-jabatan kerajaan, korporat mahupun di bengkel keusahawanan atau anjuran persatuan wanita.
“Puan , bukankah warna yang terang dan menyerlah itu yang paling sesuai dengan kita?”
Nota kecil : soalan mereka ini bukanlah bertumpukan kepada fesyen semata-mata, tetapi bagaimana harus mereka suaipadankan pakaian terutamanya ke pejabat dan ketika menghadiri majlis-majlis tertentu.
Okay, tidak saya sangkal , ramai sebenarnya yang beranggapan begini. Pada mereka, warna yang paling terang dan menyerlah itulah yang paling cantik dan sesuai digayakan.
Percayalah, 7 tahun dahulu, saya juga tidak terkecuali daripada beranggapan sedemikian! Tetapi , siapa sangka setelah mendalami ilmu daripada Perunding Imej bertaraf Master ketika melanjutkan pengajian di United Kingdom , telah merubah pandangan saya – 360 darjah!
Di sebalik rahsia ini, sebenarnya tersirat satu ilmu mengenai analisis warna yang saya secara peribadi mengambil masa selama hampir 2 tahun menguasainya daripada mereka ternama di peringkat antarabangsa (2 daripadanya di UK, seorang daripada Australia). Pelaburan mempelajari ilmu analisis warna ini juga bukanlah murah, apatah lagi terpaksa berhabisan lebih 5 angka untuk satu modul ini sahaja. (Nah…anda pasti boleh mengagak kenapa saya begitu obses tentang isu warna, ini bukan?)
Apa yang PERLU ANDA TAHU sebelum memilih warna
  1. Jika tersalah membeli, warna tersebut mampu mendominasi visual penampilan anda lalu menenggelamkan raut wajah anda secara total. Sedangkan dalam konsep penggayaan – apa yang kita cari adalah keharmonian dalam gaya dan keseimbangan warna pakaian yang dipilih dengan warna tona kulit (melalui kaedah analisis warna, kita mencari ketepatan undertone seseorang).
  2. Pemilihan warna yang tidak tepat adakalanya mampu menyerlahkan lagi penuaan kulit, kedutan dan lingkaran hitam di bawah mata- ya secara tidak langsung si pemakainya nampak lebih berusia (matang), kulit kelihatan kusam, pucat, sakit dan sedikit kekuning-kuningan daripada kebiasaannya.
  3. Tidak salah memilih warna yang terang , tetapi biarlah ia disesuaikan mengikut suhu warna , nilai warna tona kulit,  intensiti (paras kekuatan atau darjah penepuan iaitu terang atau pudarnya sesuatu warna) . Jika diikutkan analisis warna, mereka yang tergolong dalam kategori musim Spring dan Winter dengan paras intensiti K.R.M.G yang tinggi , dan terang mampu mengenakan warna sebegini (contoh gambar di atas).
Tidak salah untuk anda mencubanya – tetapi impak yang saya maksudkan di sini adalah, orang ramai hanya akan dapat melihat atau perasan akan warna pakaian anda (dari jauh), bukan anda dan pakaian secara total. Ia merujuk kepada dua situasi yang berbeza.
4. Persoalan yang anda perlu tanya diri sendiri hari ini adalah :
Adakah pemilihan warna ini semata-mata untuk saya menarik perhatian orang ramai untuk melihat kepadanya….(kerana sebenarnya saya hanya mahu dipuji?)
atau…
Saya lebih teruja jika warna yang dipilih ini , cantik dan sesuai sekali dengan warna tona kulit saya, malah kelihatan harmoni bersama ketika digayakan.
Kenalpasti palet warna yang tepat agar dapat disuaipadankan dengan warna tona kulit (analisa undertone masing-masing) , agar pembelian anda seterusnya akan lebih bermakna dan berbaloi, walaupun dengan bajet yang kecil.
Untuk mendapatkan analisis warna anda secara lebih terperinci  – rujuk Perunding Imej dan Warna Profesional (CPICC) bertauliah kami untuk ketahui sama ada anda sesuai dengan warna-warna yang terang dan cerah sebegini, ataupun sebaliknya.
Hubungi +012 9023625 atau emel kami di top2toestyliesta@gmail.com dan tempah temujanji PERCUMA anda hari ini!

Penulis merupakan seorang Perunding Imej , Etiket dan Warna Profesional (UK), Personal Branding Strategist (CPBS-USA), kolumnis di Utusan Malaysia MEGA-Rona dan personaliti TV yang sentiasa mendapat jemputan bagi memeriahkan program seperti TV Al Hijrah Assalamualaikum #Lifestyle malah pernah menjadi hos kepada segmen WOW! Apa Kata Wanita RTM TV1 pada tahun 2017 yang lalu.
Untuk sebarang konsultasi mengenai
  1. Imej peribadi anda,
  2. Pertanyaan mengenai program bengkel berkaitan dengan Imej, Etiket juga Grooming di Pejabat, Institusi Pengajian, Persatuan atau, mungkinkah anda…
  3. Berimpian untuk menjadi sebahagian daripada team Perunding Imej dan Warna Profesional seperti kami , sila hubungi Puan Emi Idura di talian +012-9023625 atau emel top2toestyliesta@gmail.com hari ini !

pensijilan-ttt-pic

10 Fesyen Raya Sabotaj Gaya dan Imej Anda

10x Anda Sabotaj-2

Kurang seminggu sahaja lagi untuk kita, umat Islam di seluruh dunia menyambut ketibaan bulan Syawal..

Sudah menjadi praktis setiap tahun , beberapa bulan sebelum tibanya puasa, saya cukup gemar memerhatikan fesyen raya yang diperkenalkan oleh pengeluar pakaian Muslimah , baik dari pereka fesyen yang terkenal mahupun pereka muda – selaku muka baru untuk koleksi Hari Raya. Dan tahun ini tidak terkecuali.
Tahun 2018 – tiada banyak keluaran terbaru yang begitu ketara rekaannya, ramai yang masih mengekalkan kurung moden seperti tahun-tahun sudah cuma diubahsuai sedikit dari tahun terdahulu.

Seperti tahun lalu (2017) , saya telah dijemput sebagai panel undangan khas di studio Apa Kata Wanita RTM TV1 bagi membicarakan topik ‘Isu Fesyen Raya 2017’ bersama hos Datin Zamzarina Zambri.

This slideshow requires JavaScript.

Menariknya, tahun ini (tanpa saya jangka), sekali lagi saya dijemput membicarakan topik ‘Pemilihan Baju Raya’ , tetapi oleh stesyen tv islamik terkenal TV Al Hijrah bagi mengisi slot program Assalamualaikum #Lifestyle atau #GayaHidup, pada pagi Rabu 6hb Jun 2018 yang lalu.

Alhamdulillah, berbekalkan pengalaman sebagai hos program ‘WOW’ Apa Kata Wanita sepanjang tahun lalu di TV1, dan lebih 5 kali bersiaran secara LIVE di TV Al Hijrah tahun ini, membicarakan topik sebegini bukanlah satu tugas yang sukar, malah saya sangatlah teruja juga terharu kerana mendapat sokongan dan kepercayaan produser untuk berkongsi di pentas ini.

This slideshow requires JavaScript.

Tidak cukup dengan 15minit perkongsian di kaca tv, saya merasakan perlu untuk saya ulaskan beberapa lagi contoh baju raya, yang sebenarnya boleh mensabotaj gaya dan imej anda – jika tidak dipilih dengan betul.

Ini penting, kerana sebagai pembeli dan pengguna yang bijak , adalah menjadi hak kita mengetahui apa yang terbaik untuk diri sendiri, sebelum meletakkan sejumlah wang sebagai tanda anda berpuas hati dengan kualiti, harga dan rekaannya.

  1. Mengelakkan anda daripada terus melakukan pembaziran setiap tahun
  2. Tahu apa yang terbaik untuk anda sebagai pembeli
  3. Dalami ilmu penggayaan (secara percuma) dari saya!

Stay tune! Jangan lupa nantikan post saya seterusnya ok!


Penulis merupakan seorang Perunding Imej , Etiket dan Warna Profesional (UK), Personal Branding Strategist (CPBS-USA), kolumnis di Utusan Malaysia MEGA-Rona dan personaliti TV yang sentiasa mendapat jemputan bagi memeriahkan program seperti TV Al Hijrah Assalamualaikum #Lifestyle malah pernah menjadi hos kepada segmen WOW! Apa Kata Wanita RTM TV1 pada tahun 2017 yang lalu.

Untuk sebarang konsultasi mengenai

  1. Imej peribadi anda,
  2. Pertanyaan mengenai program bengkel berkaitan dengan Imej, Etiket juga Grooming di Pejabat, Institusi Pengajian, Persatuan atau, mungkinkah anda…
  3. Berimpian untuk menjadi sebahagian daripada team Perunding Imej dan Warna Profesional seperti kami , sila hubungi Puan Emi Idura di talian +012-9023625 atau emel top2toestyliesta@gmail.com hari ini !

pensijilan-ttt-pic

Datin Seri Rosmah serba merah di SPRM

34445066_10156566564534873_3197455864558518272_n

Datin Seri Rosmah Mansor tiba di perkarangan pejabat SPRM pagi ini dengan berselendang merah dan berbaju biru hangat musim Spring..

Selendang di kepala MERAH
Shawl di tangan MERAH
Handbag Versace MERAH
Kasut MERAH

Pendapat saya, ia satu pilihan yang kurang tepat terutamanya apabila beliau perlu menghadapi saat-saat sukar ketika menjawab pertanyaan pegawai nanti.(Almaklum, namapun ‘dipanggil’ bukan ‘dijemput’ SPRM…ia adalah 2 situasi yang berbeza. Mesej yang perlu disampaikan juga berbeza.)

MERAH, lambang kekuatan, kemegahan, kuasa.
Tetapi jika salah digunakan atau digayakan di tempat-tempat tertentu, boleh membawa ‘bencana’ kepada diri sendiri.

MERAH, mampu menjejaskan mood, tingkah laku juga tahap stress seseorang. Secara psikologinya , ia mampu meningkatkan kadar pernafasan dan tekanan darah , oleh kerana itu, muka kita cepat menjadi merah apabila dalam keadaan malu atau marah.

MERAH, walaupun menurut kajian oleh ahli psikologi , Andrew J. Elliot dari University of Rochester , New York, Amerika Syarikat pada tahun 2014 – kaum lelaki dikatakan gemar memandang WANITA berpakaian warna ini, kerana mereka dianggap lebih menarik juga mengghairahkan, tetapi saya pasti itu tidak berlaku di pejabat SPRM pagi ini …

MERAH, secara negatifnya pula , ia bermaksud kemarahan, bersifat ingin menguasai, tidak mudah bertolak ansur, keras kepala, ganas, kejam.Dikelilingi oleh terlalu banyak warna

MERAH juga boleh membuatkan sesuatu ruang (bilik), si pemakai atau orang di sekelilingnya berasa panas, gelisah akhirnya cepat marah.

Warna bukan sekadar hiasan.
Warna memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan.

Pilihla warna yang tepat berdasarkan situasi dan mesej yang anda ingin sampaikan.Kalau nak tunjuk kuasa, biarlah ia ‘bertempat’…

Topik ini pernah saya kongsikan di Utusan Malaysia 2 tahun yang lalu, dan boleh dibaca di sini.


Penulis merupakan seorang Perunding Imej , Etiket dan Warna Profesional (UK), Personal Branding Strategist (CPBS-USA), kolumnis di Utusan Malaysia MEGA-Rona dan personaliti TV yang sentiasa mendapat jemputan bagi memeriahkan program seperti TV Al Hijrah Assalamualaikum #Lifestyle malah pernah menjadi hos kepada segmen WOW! Apa Kata Wanita RTM TV1 pada tahun 2017 yang lalu.

Untuk sebarang konsultasi mengenai

  1. Imej peribadi anda,
  2. Pertanyaan mengenai program bengkel berkaitan dengan Imej, Etiket juga Grooming di Pejabat, Institusi Pengajian, Persatuan atau, mungkinkah anda…
  3. Berimpian untuk menjadi sebahagian daripada team Perunding Imej dan Warna Profesional seperti kami , sila hubungi Puan Emi Idura di talian +012-9023625 atau emel top2toestyliesta@gmail.com hari ini !

pensijilan-ttt-pic

Rahsia Pilihan Jeans

Screen Shot 2017-08-19 at 1.03.46 AM

Adakah badan anda yang tersalah saiz ? Atau mungkinkah jenis jeans yang dibeli ?

Tampil menarik dalam sepasang seluar jeans biru yang bersaiz standard adalah matlamat yang agak sukar dicapai bagi ramai wanita. Percayalah, anda tidak keseorangan di dalam hal ini! Sebagai contoh, seluar jeans yang sudah berpadanan di pinggang, boleh kelihatan menggelembung di bahagian kaki . Rekaan dan jahitan jeans yang kelihatan cantik di bahagian kaki, menghasilkan visual ‘muffin top’ di bahagian perut si pemakainya pula.

Bak kata, sukar juga mendapatkan sepasang seluar jeans yang sesuai untuk diri sendiri. Lebih-lebih lagi dengan memiliki bentuk badan yang memiliki kekurangan di sana sini.

Harus saya tekankan , bahawa pemilihan seluar jeans bukan hanya bergantung kepada saiz, juga jenama atau label. Padanan jeans yang sesuai sebenarnya memerlukan anda mengenalpasti perkadaran badan atau ‘body proportion’ masing-masing. Setiap individu dilahirkan memiliki body proportion yang berbeza, jesteru itulah memilih jeans dengan rekaan standard untuk semua atau trend terkini bukanlah satu idea yang saya sarankan.

Secara umumnya, aspek utama yang perlu anda pertimbangkan sebelum memilih dan membeli seluar adalah cawatnya. Artikel kali ini bakal saya kongsikan apa itu cawat, bagaimana ia diukur dan mengapa ia tidak harus diabaikan. Saya juga akan membincangkan mengapa seluar pilihan ramai jenis ‘low rise’, tidak ideal untuk semua jenis dan bentuk badan wanita. Cawat seluar diambil kiraannya (menggunakan tali pengukur) dari tengah jahitan punggung sehinggalah ke paras pinggang anda (bukan pusat). Panjangnya berbeza dan mencecah antara 7 hingga 12 inci (super high rise hingga super low rise jeans). Atau secara visualnya dari hadapan, ukuran ini juga boleh diambil dari celah kelangkang seluar hinggalah ke paras pinggang masing-masing. Cawat seluar ini sangat penting kerana ia menentukan di mana seluar anda akan terletak pada badan , secara tidak langsungnya memberikan visual lengkung pinggang si pemakainya.

Sebelum kita terus mengenalpasti jenis-jenis cawat jeans yang ada atau trending di pasaran hari ini, langkah pertama yang perlu anda lakukan adalah mengira perkadaran badan sendiri.

Topik ini agak rumit untuk dirumuskan di dalam sebuah artikel pendek ,  lebih mudah jika ia didemo secara perseorangan mahupun di dalam program bengkel yang saya kendalikan . Apapun secara ringkasnya, apa yang anda perlu adalah tali pengukur dan anda dikehendaki berdiri tegak menyandar pada dinding. Seorang rakan lagi diperlukan untuk mengukur perkadaran badan pertama – iaitu jarak dari anak rambut (atas tengah dahi) sehingga hujung dagu. Secara idealnya, ukuran perkadaran badan pertama ini adalah 20cm atau hampir 8inci.

Bagi mereka yang memiliki saiz cawat yang ideal (perkadaran badan yang ke-empat) , ukuran perkadaran badan pertama itu tadi seharusnya sama dengan panjang cawat seluar hadapan.

Apapun jangan panik dengan kenyataan ini. Apa yang berlaku adalah, jika anda dapati ukuran panjang cawat yang sedikit pendek dari panjang perkadaran badan pertama (panjang muka) , ia memberikan tanda bahawa anda mempunyai cawat yang pendek dan sesuai sangatlah untuk anda memilih atau dipadankan dengan jeans yang bertanda ‘low rise’. Begitu juga sebaliknya , jika anda dapati saiz cawat yang terlebih panjang dari ukuran perkadaran badan pertama itu tadi. Asalnya ukuran muka anda mungkin 20cm, dibandingkan pula dengan saiz cawat yang mencapai sehingga 25cm.

Bagi anda yang tergolong dalam kategori ini , seperti saya juga; anda akan dapati bahawa penggunaan ‘low rise jeans’ amatlah tidak selesa , dan anda tertanya-tanya mengapa ia berlaku pada anda, sedangkan ia nampak menarik dan terletak cantik pada badan orang lain.

Adakah ia sesuatu yang anda boleh kaitkan dengan cabaran pembelian jeans anda hari ini? Jika ya… terus kan membaca.

Kenali torso (batang tubuh badan) anda

Saya pasti anda mungkin pernah terdengar mengenai mereka yang bertubuh panjang (di atas) dan berkaki pendek. Atau, bertubuh pendek (di atas) dan berkaki panjang. Manakala, tidak terkecuali , ada juga yang mempunyai tubuh badan yang seimbang (batang tubuh di atas vs bahagian kaki). Apa pun jangan khuatir, ia bukan menunjukkan anda tidak sempurna atau sebaliknya. Mengenalpasti perkadaran tubuh (terbahagi kepada lapan bahagian ini) amat penting dalam penggayaan seseorang individu. Cara yang paling cepat dan ringkas , adalah dengan mengukur dari bawah bahagian dada (tempat bra anda terletak)dengan menggunakan tangan kanan anda, dan tangan kiri di bawahnya. Lihat , jika masih ada ruang antara tangan kiri itu tadi dengan kedudukan pusat, bermaksud anda mempunyai torso tubuh badan yang panjang. Jika sebaliknya, iaitu tangan kiri benar-benar terletak pada pusat atau melebihi garisan pusat, berkemungkinan anda memiliki torso badan yang pendek (di atas).

Jeans yang ada di pasaran terdiri daripada

Super High Rise – ianya sesuai untuk memberikan visual kaki yang panjang. Pinggang seluar kebiasaannya terletak lebih dari 1 inci dari paras pinggang.

High rise jeans – sesuai untuk mereka yang mempunyai torso badan yang panjang. Dengan memilih high rise ia memberikan visual torso badan yang sedikit pendek. Pinggang seluar kebiasaannya terletak 1 inci atas paras pinggang.

Screen Shot 2017-08-19 at 12.06.00 PM.png

Medium rise jeans – sesuai untuk mereka berbadan ‘curvy’ seperti ‘hourglass’. Pinggang seluar terletak betul-betul pada paras pinggang. Terserlah kelangsingan bentuk badan si pemakainya!

Medium to low rise jeans – pinggang seluar terletak 2-3 inci di bawah pusat. Sangat popular di antara kebanyakkan pengeluar denim, terutamanya untuk wanita. Terbaik untuk meratakan punggung.

Low rise jeans – paras pinggang seluar yang sangat rendah, kebiasaannya 3-5 inci di bawah pusat. Sesuai bagi mereka yang mempunyai perut yang kempis. Bagi anda yang mempunyai cabaran ‘muffin tops’ atau lebihan perut yang terbonjol keluar – amatlah tidak disarankan memilih jenis seluar begini.

Tips memilih jenis cawat 

1.     Sentiasa pertimbangkan bentuk badan anda, panjang torso dan perkadaran. Sekiranya anda mempunyai torso badan yang panjang , anda memerlukan jenis high rise (cawat panjang). Memilih low rise jeans hanya akan memberikan visual kaki yang lebih pendek pula.

2.     Sekiranya anda sangat sensitif dengan saiz perut anda yang besar , pemilihan high rise jeans akan membantu mengurangkan visual perut itu. Tetapi jangan salah anggap penggayaan high rise jean ini sepertimana penggunaan ‘girdle’ pula ya!

3.     Ada 2 perkara perlu dipertimbangkan sebelum memilih jenis low rise jeans. Pertama, ia mampu menayangkan ‘butt cleavage’ atau celah punggung ketika anda duduk. Keduanya, lebihan berat (lemak) di perut akan tertolak ke atas sehingga menyebabkan terbentuknya ‘muffin top’.

4.     Super high waisted jeans atau super high rise kadangkalanya boleh memberikan tanggapan ‘old fashion’ kepada si pemakainya. Alternatifnya , pilih pinggang seluar yang terletak 1 inci di atas paras pinggang.

5.     Super low rise jeans sangat sesuai untuk mereka yang berbadan langsing.Sekiranya anda berbentuk pir dan mempunyai berat berlebihan di antara pusat dan paras pinggang seluar jeans – ia seakan-akan menonjolkan lagi pinggul anda yang bersaiz besar.

Selamat Mencuba!


Artikel ini telah disiarkan di kolum Bicara Imej Utusan Malaysia – MEGA Rona pada Rabu 2 Ogos 2017 (m.s 21).

Untuk mendapatkan khidmat runding Puan Emi, sesi secara peribadi atau bercadang untuk mengadakan bengkel, juga program melibatkan latihan di peringkat jabatan atau korporat, sila hubungi beliau di :-

top2toestyliesta@gmail.com | +012 9023625

 

 

Bijak rancang wardrobe, solusi maksimumkan gaya!

Perunding Imej Emi Idura berkongsi di Apa Kata Wanita RTM TV1

Memilih untuk mengenakan baju raya baharu ketika bersiaran secara langsung di program Apa Kata Wanita, RTM TV1  bagi membicarakan topik Fesyen Raya 2017 ,  tepat 2 minggu sebelum merayakan Syawal , benar-benar telah membuka mata rakan sosial media yang lain, bahawa sebenarnya kita tidak perlu malu dan ianya bukan satu kesalahan untuk mengulangi pemakaian yang sama berulang kali.

Apakah rahsianya untuk merancang bajet koleksi pakaian atau wardrobe anda dengan bijak ?

Ya, saya percaya setiap antara kita hari ini pastinya sangat teruja untuk memiliki sepasang baju baru. Secara tidak langsung, ia memberikan rasa kepuasan , keyakinan diri , menarik perhatian orang ramai , menaikkan semangat ketika terasa bosan, sedih, takut (berdiri di hadapan orang ramai untuk memberi ucapan atau mengendalikan program) dan sebagainya.Yang berkemampuan pasti memperuntukkan bajet membeli belah setiap bulan. Tidak mustahil ada juga yang membeli setiap minggu, setiap 6bulan mahupun setahun sekali dengan jumlah yang besar. Apapun pilihan , tabiat dan corak pembelian hari ini, sebenarnya ada beberapa perkara yang perlu anda ambil tahu dan praktikkan di sesi bershopping akan datang agar pembaziran tidak berlaku.

Membeli mengikut gerak hati

Pernahkah anda terperangkap antara situasi – melihat sesuatu pakaian yang anda minati dan harus miliki, tanpa berfikir panjang terus membelinya , dan kemudian dapati anda tidak langsung mempunyai keinginan untuk memakainya walaupun selepas beberapa bulan tersimpan di dalam almari? Percayalah, anda tidak keseorangan! Membeli tanpa perancangan ibarat melakukan perjalanan jauh tanpa GPS! Pilihan fesyen fad dan padanan yang trendy , berlainan fabrik dan warna yang tidak sesuai pula – akhirnya anda hanya memiliki selonggok pakaian yang tidak boleh disuaipadan antara sama satu lain , semaksimum tiga helai sepertimana strategi asas membeli belah. Saya bayangkan koleksi ini ibarat seperti makanan jajan, datang dengan pelbagai warna, bentuk dan perisa, membuatkan anda membeli tanpa rasa bersalah, dan akhirnya menyebabkan berat badan pula naik mendadak. Sama seperti pembelian mengikut gerak hati –dan tanpa perancangan teliti , bakal memberi kesan kepada anda tanpa di sedari!

Pakaian yang memerlukan cucian dan penjagaan khas

Tudung sutera ringan dipadankan dengan sut linen? Menarik! Tentunya anda tahu bahawa tudung sutera itu perlu dicuci dengan tangan , bukan? Dan sut linen itu pula perlu digosok ? Cara penjagaan, juga kos untuk menjaganya haruslah diambil kira sebelum membeli, bukan selepas memilikinya. Kerana jika sebahagian koleksi pakaian anda hari ini antara yang perlu “dibasuh dengan tangan” mahupun “cucian kering” , maka keputusan memilikinya adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan kerana kosnya yang agak tinggi dan masa yang perlu diperuntukkan untuk mencucinya.

Pakaian baru setiap majlis

Sambutan harijadi rakan. Majlis perkahwinan sepupu. Aqiqah anak saudara. Penyampaian anugerah di majlis PIBG sekolah. Dipanggil menjadi jemputan panel speaker suatu persidangan besar di Pusat Konvensyen di KLCC. Berikut merupakan antara momen penting dan bakal melakarkan sejarah dalam hidup , tentunya anda mahu kelihatan hebat. Jika anda menghabiskan lebih banyak wang untuk memiliki sesuatu rekaan tetapi hanya mengenakannya sekali dalam setahun – berbanding koleksi baju yang boleh dipakai berulang kali, setiap bulan atau sekurang kurangnya sekali dalam setiap tiga bulan , sesungguhnya ia mampu memberikan kesan kepada bajet anda, jadi jangan lakukannya!

Padanan mengikut personaliti gaya

Ramai yang saya percaya terlepas pandang akan strategi ini.

Baju kurung moden peplum , dengan bell sleeves bermanik rekaan dari jenama pereka terkenal,  diturunkan harganya dari RM600 kepada RM199 ? Wow, menarik dan hebat , bukan ? Mungkin ya, dan mungkin tidak. Jika anda lebih banyak menghabiskan masa di pusat gym selepas pulang dari kerja , tidak gemar bersolek , tidak gemar menggunakan mahupun memiliki aksesori fesyen, tidak gemar menggosok baju, percayalah, anda tidak mungkin akan memakai baju itu tadi walaupun ianya satu trend masakini. Wanita sebegini, mereka lebih gemar memiliki koleksi rekaan tradisional seperti kurung, kebarung, kurung Kedah , kurung Pahang yang ringkas berbanding rekaan moden dan in trend. Walaupun secara umumnya, penurunan harga sebanyak RM401 dari harga sebenar dianggap sebagai ‘rugi jika tidak dimiliki’ , tetapi jika ia tidak menepati personaliti gaya seseorang, percayalah, saya sarankan agar anda mempertimbangkan semula keinginan memiliki baju tersebut. Daripada ia disangkut di almari pakaian bertahun-tahun lamanya tanpa diusik, dan sebelum anda bercadang untuk memakainya pada tahun ketiga , fesyen tersebut sudahpun tidak diminati. Ingin menjadi pembeli yang bijak? Tinggalkan ia semula di rak pakaian, ya lupakan sahaja niat membelinya tadi.

Tidak begitu gemarinya, tetapi rekaan pereka terkenal, malah diskaun lebih 50% pula!

Saya pasti ia bukan sahaja berlaku kepada anda, tetapi saya juga secara peribadi.

“Rekaan pereka terkenal, diskaun pula lebih 50% – ruginya jika tidak memiliki!” bisik kata hati.

Pesan saya – jangan biarkan jenama dan label pereka fesyen itu mempengaruhi keputusan pembelian anda. Bayangkan jika anda tidak menggemari rekaan yang ada di depan mata, percayalah, tidak sesekali anda akan suka akan rekaan ini pada tahun-tahun akan datang.

Tanya diri sendiri,  bagaimana pula jika ianya bukan rekaan dan jenama pereka terkenal, adakah anda tidak teragak untuk memilikinya juga ? Jika tidak, lupakan sahaja. Simpan duit dan ruang wardrobe untuk sesuatu yang mampu milik dan tentunya yang sesuai dengan anda satu hari nanti.

Kos setiap penggunaan

Ini antara strategi bijak yang patut dipraktikkan oleh semua. Sebab itu perancangan rapi dalam mengenalpasti jenis majlis yang perlu dihadiri dalam setahun, jenis pekerjaan anda , industri perniagaan syarikat, kod pakaian ke pejabat, juga mesej dalam pemakaian sangat penting. Mulakan dengan menyenarai aktiviti mingguan, bulanan juga tahunan , dan bajet yang diperuntukkan baik untuk diri sendiri mahupun keluarga.

Tidak salah memiliki pakaian berjenama , label terkenal dengan harga yang mahal, tetapi haruslah bijak dalam mengenalpasti kos setiap kali penggunaan baju tersebut . Ia benar-benar membantu anda untuk membuat keputusan untuk memilikinya atau sebaliknya.

Sebab itu jugalah, anda sebenarnya tidak perlu malu untuk mengulangi pemakaian yang sama kecualilah kedudukan kewangan anda mengizinkan untuk memiliki seberapa banyak koleksi yang anda perlukan tanpa banyak persoalan. Praktikkan strategi wardrobe kapsul juga teknik warna-warna harmoni menghasilkan skim warna complimentary, analogous, monokromatik dan sebagainya untuk mendapatkan hasil maksimum dalam gaya.

Selamat mencuba!

 


Untuk mendapatkan khidmat runding penulis, sesi secara peribadi atau bercadang untuk mengadakan bengkel, juga program melibatkan latihan di peringkat jabatan atau korporat, sila hubungi beliau di :-

top2toestyliesta@gmail.com | +012 9023625