Hindari Imej Makcik Bawang

agriculture-bulb-close-up-161603.jpg

Hanya 40 milisaat diperlukan untuk imej peribadi anda dinilai, baik secara positif atau negatif di media sosial.

 Jika angka di atas menakutkan anda untuk membaca perkongsian saya seterusnya, anda berada di kolum yang tepat.

Dengan fenomena dan gelaran makcik bawang yang semakin menjadi-jadi sejak tahun 2017 yang lalu, terpanggil untuk saya berkongsi minggu ini mengenai istilah kegemaran netizen ketika ini.

Dikatakan merujuk kepada golongan wanita yang sering menyertai kenduri kendara majlis, sambil duduk beramai-ramai memotong bawang, mereka ini gemar bercerita dan mengumpat antara satu sama lain. Fanatik dengan drama cerita melayu , mereka boleh menangis bercerita bab lakonan pelakon pujaan masing-masing sambil memotong bawang di tangan.

Tidak kurang ada juga yang berpendapat, istilah makcik bawang ini mula-mula diperkenalkan di halaman Facebook Kisah Rumah Tangga, kerana kumpulan ini gemar berkongsikan perihal rumah tangga orang lain. Semenjak itu, istilah ini semakin kerap digunakan dan mendapat hampir 7ribu tanda pagar #makcikbawang di Instagram.

Persepsi itu Realiti

Setiap saat, waktu , malah setiap hari (dalam kehidupan), orang ramai akan menentukan pandangan mereka terhadap anda berdasarkan tindakan dan tingkahlaku anda , yang mereka perhatikan selama ini. Proses ini dinamakan satu persepsi atau penanggapan.

Walaupun anda tidak dapat mengawal pandangan orang ramai, tetapi anda mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas tindakan anda. Bertindak secara proaktif, dalam menguruskan tanggapan ini merupakan strategi utama untuk anda dikenali , mendapat kredit atas hasil usaha kerja anda dan yang paling penting kemajuan karier malah kejayaan perhubungan peribadi!

“Kita menilai sesebuah buku , berdasarkan kulit luaran mereka. Tidak dapat dielakkan kerana itulah yang sebenarnya berlaku,” begitulah menurut kata Nicholas Rule, seorang Profesor Psikologi dari University of Toronto, Amerika Syarikat ini.

Tanggapan pertama, dalam erti kata lain, bukan sahaja pantas, tepat dan akan melekat lama di minda seseorang.

Jika penampilan yang menarik, profesional, tidak keterlaluan sering dinilai pada pandangan pertama, begitu jugalah pakej peribadi seseorang di dalam media sosial. Selain status dan gambar yang dimuatnaik, setiap pilihan kata-kata, gaya bahasa, intonasi menggambarkan kesihatan mental dan latarbelakang si penulisnya secara tidak langsung.

Imej Makcik Bawang

Berapa ramai antara kita hari ini yang benar-benar mengambil tahu atau sedar akan kepentingan menjaga dan menguruskan imej peribadi, walaupun sekadar di media sosial?

Selain tujuan untuk menghiburkan diri , dengan alasan untuk ‘bersosial’ , setiap tindakan , luahan kata-kata, gambar yang dimuatnaik juga pendapat masing-masing boleh menjerat diri sendiri jika tidak diuruskan dengan betul. Tidak hairanlah, kita melihat semakin banyak tanda pagar diperkenalkan seperti #doayangbaikbaik yang kini mencecah lebih 176k, #jangankecamsaya pula dengan 168k telah dimuatnaik seolah-olah mengharapkan agar orang ramai seperti golongan makcik-makcik bawang ini tidak mudah mengecam , memberi pandangan negatif kepada si penulisnya atau pemilik akaun profil.

Jujur dengan saya, inikah imej yang ingin kita tonjolkan sebagai seorang individu?

Adakah dengan mengecam, memuatnaik pendapat yang negatif dapat menyelesaikan masalah atau isu tersebut.

Bagaimana kiranya jika kita berfikir secara positif pula (tukar mindset), senyum dengan tindakan orang lain yang bertindak mengikut luar akal fikiran , memilih untuk sekadar menjadi pemerhati dan tinggalkan sahaja kontroversi tersebut tanpa berbuat apa-apa?

Orang yang optimis akan melihat sesuatu isu itu sebagai satu peluang, satu pengajaran – apa yang mereka boleh pelajari untuk memperbaiki diri (agar tidak terjebak di dalam situasi seperti itu)

Mereka yang pesimis, akan sentiasa melihat ia sebagai sesuatu yang negatif, dan tidak pula mahu mengambil iktibar dan belajar untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Mereka ini antara orang-orang yang rugi dan sukar untuk berjaya di dalam kehidupan kerana sikapnya yang sentiasa negatif.

Pun begitu, setujukah dengan saya – istilah makcik bawang ini tentunya tidak sesekali akan wujud, jika kita seorang individu yang matang dan bijak dalam menguruskan pandangan dan persepsi orang ramai agar imej peribadi senantiasa dipandang positif.

Hmm, ada caranya!

Amalkan Detoks Media Sosial

Biasa juga kita dengar dengan detoks tubuh badan , bukan?  Tapi kali ini, tidak salah rasanya jika kita cuba sesuatu yang baru dengan amalkan pula detoks media sosial ini.

Menulis dari pengalaman peribadi, berikut adalah antara amalan detoks media sosial yang anda boleh mula praktikkan , agar tidak terjebak ke dalam golongan makcik bawang ini :-

  1. Unsubscribe dan Unfollow – lupakan dan tinggalkan sahaja kumpulan Facebook dan rakan-rakan yang tidak memberikan anda impak positif atau inspirasi dalam kehidupan. Mudah sahaja untuk mengenalpasti golongan ini. Mereka cenderung untuk hanya melihat perkara yang negatif dan pilihan perkataan harian mereka sentiasa ke arah itu. Hati-hati kerana ia boleh berjangkit kepada anda pula satu hari nanti!
  2. Tutup ‘push notification’ – sukar untuk dilakukan tetapi ia perlu agar kita tidak terlalu obses dengan perkembangan terkini selebriti mahupun instafamous, atau individu dan kumpulan whatsapp yang diikuti secara rapat.
  3. Jauhkan segala alat mudah alih dari katil sebelum tidur – selain kajian mengatakan ia tidak baik untuk kesihatan, terutamanya penggunaan ketika di dalam bilik gelap, ia juga dapat mendisplinkan diri agar tidak terlalu ketagih untuk memegang dan membaca perkembangan mahupun status terbaru rakan-rakan di media sosial.
  4. Rehat sehari dan katakan TIDAK kepada semua akaun Facebook, Instagram mahupun Twitter – percayalah, anda boleh lakukan ! Sekadar untuk membuang masa lapang dengan membaca , tidak mengapa, tetapi cuba sesekali untuk tidak memberikan sebarang ‘LIKE’ atau komen, mahupun memuatnaik status untuk satu hari ini.
  5. Bertindak sekadar pemerhati – jangan jadikan diri obses dengan kehidupan orang lain. Jika anda gemar membuka akaun Facebook mahupun Instagram , jadikan ia sebagai hobi menghabiskan masa lapang anda, hadkan sekadar 20minit minimum (awal pagi) untuk menjawab komen di status anda sendiri dan melihat sekadar sepintas lalu di akaun FB rakan-rakan anda dan ulanginya semula ketika rehat waktu tengahari dan sebelah petangnya, selepas jam 6.

Media sosial merupakan medium pantas untuk anda berkomunikasi dan bersosial. Tetapi jangan jadikannya medan untuk anda menjadi individu yang lemah kesihatan mentalnya dengan berfikiran negatif sepanjang masa. Mungkin ada yang cuba memberi alasan – ianya tempat atau ruang untuk melepaskan tekanan harian – tetapi hati-hati , kerana ia boleh menjerat dan merosakkan imej peribadi anda tanpa anda sedari.

Artikel ini “Cuba elakkan imej makcik bawang” telahpun disiarkan di Utusan Malaysia -MEGA RONA di bawah kolum Bicara Imej – April 2018, hasil tulisan Puan Emi Idura sendiri.


Penulis merupakan seorang Perunding Imej , Etiket dan Warna Profesional (UK), kolumnis di Utusan Malaysia MEGA-Rona dan personaliti tv yang sentiasa mendapat jemputan bagi memeriahkan program seperti TV Al Hijrah Assalamualaikum #Lifestyle malah pernah menjadi hos kepada segmen WOW! Apa Kata Wanita RTM TV1 pada tahun 2017 yang lalu.

Untuk sebarang konsultasi mengenai imej peribadi anda, pertanyaan mengenai program bengkel berkaitan dengan imej dan etiket di pejabat, atau anda ingin menjadi sebahagian daripada kami (Perunding Imej dan Warna Profesional) , sila hubungi Puan Emi Idura di +012-9023625 atau top2toestyliesta@gmail.com.

 

What makes you UNIQUE?

#HASHTAG.png

Come on!
Hashtag a word that best describes who you are today…
What makes you unique and special to the others

Make sure it starts with the same alphabet as your initial ..
I choose..,

#elegant Emi

OK READY ? Set , GO!

Keep the ball rolling, guys!