Impak PRU14 : Persepsi adalah Realiti!

Secara peribadinya, saya berpendapat – kerana kurangnya pendedahan juga program kesedaran  (awareness program) menyeluruh daripada pihak kumpulan Perunding Imej (yang bertauliah) di Malaysia ini untuk menyebarkan dan berkongsi ilmu kepada semua tentang pentingnya penjagaan dan pengurusan imej peribadi , Pra dan Pasca PRU14 (2018), telah memperlihatkan ramai individu, rakan-rakan dan kenalan di media sosial menyerlahkan ‘true color’ atau keperibadian mereka sebenar (tanpa disedari).

Kerana terlalu obses dalam memperjuangkan parti masing-masing , secara tidak langsung ia telah mencemarkan imej peribadi mereka di dalam diam dan memberikan impak gambaran yang negatif untuk satu jangka masa panjang jika mereka tidak berbuat sesuatu atau bertindak dengan pantas untuk memperbetulkannya.

Obses yang saya maksudkan di sini, antaranya mereka terlupa bahawa status yang dimuatnaik atau ketika menjawab status orang lain – cara penulisan , gaya bahasa, intonasi, penggunaan bahasa kasar, huruf besar seakan sedang marah atau menekankan sesuatu isu – kadangkalanya mencerminkan emosi penulis ketika itu dan tahap EQ mereka sebagai individu.

Ramai berpendapat, menjaga imej hanya untuk mereka, individu yang berjaya dan bekerjaya. Seperti golongan profesional, artis, ahli politik, mahupun khas buat mereka ingin glamour dan yang berkemampuan. Ada juga yang berpandangan , menjaga imej ini hanya untuk wanita, kerana ia lebih cenderung kepada bab kecantikan dan penjagaan diri (grooming).

Jawapan saya? Menjaga imej peribadi adalah tanggungjawab setiap individu.

Ya, setiap individu tanpa mengenal jantina, umur, pencapaian akademik, kedudukan kewangan peribadi, cabaran bentuk badan , gaya hidup , jawatan hari ini mahupun industri tanpa berfokuskan kepada satu kumpulan sahaja.

Menariknya, ketika dalam perjalanan pulang daripada mengendalikan program Kecemerlangan Imej dan Etiket di Desaru, Johor bergegas ke Lapangan Terbang Senai Johor Bharu, untuk pulang ke Kuala Lumpur baru baru ini – saya menerima mesej Whatsapp dan panggilan daripada seorang wartawan MStar Online (BM portal) yang bersungguh ingin mendapatkan pandangan peribadi saya tentang penampilan calon pilihanraya kali ini, dan bagaimana ia boleh mempengaruhi jumlah undi mereka nanti. 

Screen Shot 2018-05-14 at 5.01.14 PM

Sejujurnya, saya cuba menolak permintaan wartawan tersebut untuk ditemubual, kerana secara peribadi agak kurang selesa untuk mencampuradukkan isu politik di dalam kerjaya dan perniagaan yang saya jalankan. Tetapi kerana saya hargai panggilan wartawan tersebut, dan kesanggupan beliau untuk menunggu jawapan penuh saya kepada lebih 6 soalan yang diberi walaupun sehingga saya pulang ke Kuala Lumpur dan hanya menjawab keesokkan harinya…

Antara soalan-soalan yang diajukan (tetapi tidak disiarkan sepenuhnya) …

1. Any tips untuk calon-calon yang akan pergi berkempen? Adakah penampilan juga antara faktor boleh menyumbang undi kepada calon?

Jawapan : 

Imej merupakan cerminan diri dan cara penampilan kita hari ini sebenarnya,  menyampaikan mesej tertentu, apa yang kita fikir, rasa , bagaimana kita bertindak dan juga tingkah laku kita ketika itu. Ia menyumbang sebanyak 55 peratus daripada sejumlah keseluruhan imej peribadi seseorang , selain tingkah laku dan etiket 38 peratus dan selebihnya cara mereka berkomunasi – 7 peratus (baik secara lisan , mahupun bukan lisan).

Benar, penampilan boleh menyumbang undi kepada calon tetapi ia juga bergantung kepada situasi. Kerana tanggapan pertama seseorang individu terhadap individu yang lain berlaku dalam sesingkat 30 saat yang pertama. Dalam sesingkat ini, persepsi, pandangan, penilaian terbentuk dalam mesej dan gambaran yang positif mahupun negatif – baik ataupun sebaliknya.

Tetapi jika pertemuan itu bukanlah kali pertama buat mereka, maka persepsi , penilaian dari pengalaman lalu atau semasa akan mengatasi segala-galanya. Kerana persepsi bukan sahaja berdasarkan visual penampilan (melihat), tetapi apa yang mereka dengar (dan baca) juga sentuhan deria yang lain (seperti bau, rasa, sentuhan).

 

2. Contoh calon muda masuk kampung, apa pakaian yang perlu mereka guna? Jenis macam mana dan warna apa yang sesuai?

Jawapan : 

Sebagai calon muda dan pertama kali masuk ke kawasan kampung, apa yang mereka perlukan adalah kepercayaan dan keyakinan orang ramai, selain dihormati. Mereka ini harus dilihat sebagai seorang yang mudah didekati , peramah, boleh dipercayai tetapi masih mengekalkan kredibiliti sebagai seorang calon.

Saya mencadangkan agar mereka elak dari menggunakan pakaian berjenama mahal yang berlogo mahal (baju, kasut, beg tangan , tudung, jam tangan , cermin mata, tali pinggang, topi ) termasuk kenderaan yang digunakan – kerana persepsi negatif orang ramai mudah terbentuk berdasarkan apa yang mereka lihat.

Mereka tidak mahu atau perlukan calon yang ‘over’ menunjuk-nunjukkan kemewahan, sedangkan mereka hidup kadangkalanya ada juga yang kais pagi makan pagi. Ciri seorang calon yang peramah, mudah didekati, eloklah dipilih daripada warna yang sedikit cerah dan lembut, mengekalkan kekemasan baju. Kredibiliti boleh dilihat berdasarkan jenis fabrik yang lebih berstruktur berbanding kain yang lembut (beralun).

Screen Shot 2018-05-14 at 6.03.12 PM.png

3. Jika kita tengok pada hari ini, ramai ahli politik tidak begitu menitik beratkan penampilan / imej. Pada pendapat Puan , siapa ahli politik yang boleh dijadikan panduan dari segi penampilan / imej untuk yang lain. Contoh YB KJ.

Jawapan Perunding Imej Emi Idura :

Saya sukakan kedua-dua YB KJ dan YB Syed Saddiq, selaku Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia. 

Mereka mempunyai personaliti yang berbeza, unik dan patut menjadi contoh kepada belia . Yang menjadikan mereka unik adalah kerana personaliti gaya peribadi yang ditonjolkan. Kedua-duanya menyampaikan mesej individu yang berkeyakinan , wibawa, boleh dipercayai, profesional .

YB KJ juga dilihat bijak bermain dengan pilihan warna dan aksesori yang menunjukkan beliau tidak begitu serius (menggambarkan perwatakan peramah) dan selesa dengan personaliti gayanya yang agak klasik dan sedikit romantik ini. 

Pun begitu, tidak kurang juga dengan YB Syed Saddiq, dengan kelebihan kepetahan beliau berbicara (ditambah dengan pengalaman sebagai Juara Debat Asia), gaya penampilan yang penuh karisma, ia merupakan plus-point buat anak muda ini untuk mendapat tempat di hati pengundi. 

4. Kita tengok calon tua tidak begitu menitikberatkan soal penampilan, apa pendapat Ms.Emi ? Ada tip tak supaya mereka berani tampil dengan imej yang lebih fresh?

Jawapan Perunding Imej Emi Idura :

Well, saya tidak menyalahkan mereka seratus peratus dalam hal ini.

Kebanyakkan mereka di bawah kategori generasi baby boomers, tidak merasakan akan kepentingan mempunyai penampilan yang baik. 

Sebab itu jugalah kehadiran dan kewujudan kami sebagai Perunding Imej (yang bertauliah) adalah untuk memberikan sebaik mungkin kesedaran kepada semua golongan tentang kepentingan akan penjagaan dan pengurusan imej peribadi. Ini kerana imej itu sendiri akan membantu kepada kejayaan individu baik secara peribadi mahupun profesional.

Menjaga imej tidak semestinya seseorang itu harus obses dengan trend semasa, label mahupun jenama. Apa yang penting adalah, tampil dengan imej yang sesuai dengan personaliti gaya peribadi, bajet, bentuk badan badan masing-masing, dan terutamanya mesej (berpakaian) yang ingin disampaikan.

Elakkan dari pemakaian yang nampak selekeh, jaket yang besar dan tidak kemas, jauhi penggunaan warna merah yang keterlaluan di dalam gaya, aksesori berjenama mewah dan mahal.

Tanya diri sendiri ,

Mahukah saya dilihat sebagai individu yang penuh berkeyakinan, boleh dipercayai, mempunyai kredibiliti dan penuh karisma?

Atau,

Kerana saya seorang calon (parti), penampilan itu tidak penting, cukup sahaja dengan personaliti gaya hari ini yang menunjukkan saya seorang yang rileks, santai dan selesa ? Juga, saya seorang yang berpangkat tinggi dan mempunyai gelaran, pasti orang ramai akan hormat kepada saya secara automatik. 

Jika pilihan kedua adalah jawapannya, maka calon ini memerlukan khidmat seorang Perunding Imej (juga Personal Branding Strategist)  untuk membantu. 

5. Selain jaga imej dan penampilan  – apa yang perlu ada pada dalam diri setiap calon?

Jawapan Perunding Imej Emi Idura :

Perlu saya tekankan di sini – penampilan itu sendiri adalah sebahagian besar daripada imej seseorang individu. Ia merangkumi sebanyak 55% daripada sejumlah besar keseluruhan imej kita. 

Cara kita berpenampilan , bagaimana tingkah laku (termasuk etiket) dan cara kita berkomunikasi memainkan peranan yang sangat besar dalam membina imej peribadi yang baik, berkeyakinan , berkarisma dan dihormati. 

Pun begitu , jangan dilupa bahawa ..

Penggunaan bahasa badan yang betul, intonasi suara dan pilihan ayat juga perkataan yang dipilih ketika bertemu orang ramai nanti akan tetap DINILAI. Kenyataan saya ini juga adalah berdasarkan sebuah kajian yang djalankan oleh Prof. Dr Albert Mehrabian, seorang Professor Emeritus of Psychology, UCLA , Amerika Syarikat. Kajian berkenaan ‘Komukasi Efektif’ itu turut menguatkan lagi fakta bahawa imej kita hari ini dinilai berdasarkan ketiga-tiga elemen penting ini, iaitu penampilan (visual), tingkah laku (termasuk cara kita menjaga etiket) juga cara kita berkomunikasi (secara lisan mahupun bukan lisan seperti penggunaan bahasa tubuh).

6. Selain penampilan atau fesyen, penting tak politician ini mempunyai trademark mereka masing-masing. Seperti, Datuk Seri Dr Wan Azizah dengan kipasnya, YB KJ dengan stokin pink, dan YB Nurul Izzah dengan tudung bawalnya?

Jawapan Perunding Imej Emi Idura :

Trademark ini hanyalah satu plus-point  kepada calon, secara tidak langsung memberikan satu tanda untuk orang ramai mudah mengingati mereka – ya , jenama peribadi (personal brand).

Apa yang penting sekarang adalah kredibiliti mereka di mata pengundi, terutama di saat-saat minggu terakhir untuk membuang undi pada 9hb Mei 2018 nanti. 

Secara peribadi, saya berpendapat sudah agak terlambat untuk meningkatkan visual kredibiliti (dari segi penampilan) walaupun ia mungkin boleh membantu mereka untuk tampil lebih berkeyakinan sepanjang tempoh ini. 

Bak kata pepatah, First Impression Lasting Impression. 

Terutamanya jika tanggapan pertama (yang terdahulu) telah dicemari dengan pandangan dan penilaian yang negatif, agak sukar untuk mendapatkan lebih keyakinan, penghormatan, malah kepercayaan orang ramai untuk membina perasaan itu semula – Perunding Imej Emi Idura (UK)

Saya juga sangat berpegang dengan kata-kata pepatah ini..

“TRUST TAKES YEARS TO BUILD, SECONDS TO BREAK AND FOREVER TO REPAIR”

IMG_7498.jpg

“…..Sebab itulah kita semua rasa begitu sedih dengan apa yang berlaku. Namun sebagai parti yang mendokong prinsip demokrasi, kita terima keputusan rakyat dengan hati yang terbuka. Mungkin inilah memberi kita peluang untuk memperbaiki lagi apa sahaja kelemahan dan kekurangan yang perlu kita lakukan walaupun mungkin ini banyak berkisar kepada persepsi daripada realiti. 

Siapa yang menang dalam perang persepsi, dia mungkin dapat menguasai sokongan rakyat – Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan terakhir beliau sebelum meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO. 

IMPAK PASCA PRU14 : YA, PERSEPSI ADALAH REALITI !

Dengan pendedahan kepada media sosial yang kini semuanya boleh didapati di hujung jari , orang ramai hari ini bukan sahaja dapat melihat, membaca , mendengar (apa yang mereka mahu (tahu) malah di sinilah pelbagai persepsi , pandangan, penilaian, hukuman juga kecaman terhadap seseorang mula terbentuk. Baik secara positif ataupun negatif. 

Jika apa yang mereka lihat, dengar , baca itu tidak selari dengan nilai peribadi (personal values) , prinsip hidup , fahaman juga pegangan agama – dikuatkan pula dengan pengalaman kehidupan lalu dan masakini, maka gambaran negatif mula bermain-main di minda mereka untuk satu jangkamasa yang lama. 

Persepsi inilah yang mengurangkan rasa percaya, perasaan hormat , keyakinan orang ramai sehinggalah ia boleh dibuktikan bahawa apa yang mereka gambarkan selama ini, pandangan, penilaian dan hukuman (judgement) adalah tidak benar sama sekali. 

Mungkin ada yang bertanya…                                                                                                                Puan Emi, apakah yang boleh saya ambil iktibar dan pelajari daripada pasca PRU14 kali ini? 

1. Ini Penting – Elakkan penyakit SS – ‘Syok Sendiri’ !

Saya tahu anda tersenyum. Bukan-bukan… saya tidak tujukan kepada mana-mana individu mahupun parti.

Ini REALITI. Apa yang terjadi adalah satu REALITI, bukan permainan atau perang persepsi. (sebagai seorang individu yang bijak, kita harus terima kenyataan dan cuba pelajari, perbaiki diri dan juga ‘dunia’ sekeliling kita agar menjadi lebih positif)

Disebabkan faktor inilah , kita bertanggungjawab terhadap siapa diri kita hari ini. Mungkin adakalanya sudah berbuih kita mengungkapkan perkataan IMEJ… ‘imej negara tercalar’, ‘imej seorang pemimpin’, ‘imej parti yang memerintah selama 60 tahun…’ dan sebagainya. Tetapi, apakah yang difahami oleh anda (sebagai pembaca) akan maksud IMEJ itu? Adakah ia sekadar perkataan yang dipilih ketika menerangkan sesuatu keadaan (yang telah dicemari? yang negatif ?) tanpa memikirkan impak imej kepada diri anda sendiri? Keluarga ? Karier ?

Bagaimana pula pandangan orang ramai (terhadap diri saya)? Dari dulu hingga kini – adakah ia positif atau negatif ?

Penyakit Syok Sendiri ini bukanlah sesuatu yang baru. Adapun tidak merbahaya buat kesihatan peribadi, tetapi sangat berisiko buat mereka yang ingin mempunyai imej yang baik (mahu dikenali, dihormati, disayangi, dipercayai, diyakini….).

2. Labur dalam penjenamaan imej peribadi – ibarat melabur akan kejayaan anda di masa hadapan!

Tagline ini saya reka , antara tahun-tahun pertama saya memulakan kerjaya di dalam industri perundingan imej ini. Ya sebaik pulang dari menghadiri kursus pensijilan dan akreditasi antarabangsa sebagai perunding imej di London Image Institute , United Kingdom – ya, lebih 5 tahun yang lalu.

Apa itu Personal Branding atau Penjenamaan Peribadi

Penjenamaan peribadi menjelaskan dan menyampaikan apa yang membuatkan anda berbeza, istimewa dan berharga (nilai tinggi). Memahami , mengenalpasti keunikkan sifat peribadi, kekuatan, kemahiran , nilai-nilai peribadi, semangat membara juga minat anda untuk lakukan sesuatu (passion) – lantas menggunakannya sebagai rujukan untuk membuat segala keputusan dalam urusan harian (peribadi , karier mahupun perniagaan) . Ini secara tidak langsung berjaya mengasingkan, membezakan anda daripada pesaing yang ada. 

Dalam erti kata lain, penjenamaan peribadi benar-benar jelas menyampaikan nilai janji anda yang unik yang anda ‘tawarkan’ kepada orang ramai, atau pelanggan (jika anda seorang usahawan).

Penjenamaan peribadi yang berjaya adalah kerana mereka AUTENTIK , bukan yang direka-reka atau dibuat-buat. Ia bermaksud, anda menggunakan nilai peribadi, semangat dan minat (passion) juga kekuatan peribadi untuk membezakan diri anda dengan yang lain, sambil menarik bakal majikan, pelanggan malah pelabur untuk mempercayai jenama anda dan apa jua yang ditawarkan (produk, perkhidmatan mahupun kemahiran). Jenama yang autentik ini jelas, konsisten dan berterusan dalam menyampaikan mesej mereka. 

Kaitan dengan penjenamaan imej peribadi (personal image branding)?

Sistem identiti jenama peribadi adalah perbendaharaan kata visual diambil dari komunikasi jenama  – iaitu identiti visual.

Bagi anda yang memiliki perniagaan, identiti visual ini meliputi keseluruhan alat tulis, bahan pemasaran, laman web termasuk platform media sosial , pembungkusan produk dan sebagainya. 

Manakala kita – sebagai individu yang sentiasa mengimpikan sebuah kejayaan , ingin mencapai visi , misi dan objektif peribadi dalam kehidupan – kita haruslah serius dalam menjaga dan menguruskan imej peribadi.  Ia merupakan cara yang paling efektif dan konsisten dalam mewujudkan kesan jenama peribadi yang tidak dapat dilupakan. 

Sebagaimana sebuah produk , perkhidmatan mahupun kemahiran dipakejkan – begitulah jua dengan jenama anda.

Imej dan reputasi anda (di mata orang ramai) – itulah jenama peribadi anda – Perunding Imej Emi Idura

Menggunakan elemen penampilan (pengurusan dan penjagaan diri, gaya peribadi), tingkah laku (etiket dan siviliti) , cara anda berkomunikasi (lisan dan bukan lisan), malah ‘penampilan di media sosial’ mampu memberikan impak yang sangat besar kepada keseluruhan imej anda hari ini. 

IMG_7787

3. Imej Peribadi – Jangan pandang ringan atau ambil mudah akan impak jangka masa panjang 

Jika ada yang masih beranggapan bahawa imej itu hanya untuk kaum wanita, perihal berkaitan kecantikan (grooming), golongan bekerjaya dan bekerja di pejabat , usahawan, ahli politik , selebriti atau fokus kepada industri fesyen sahaja..saya harap artikel ini sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi anda itu.

Suka atau tidak, anda telahpun memiliki jenama peribadi (identiti) tersendiri. 

Tidak kira usia, latarbelakang akademik, pengalaman, profesion, industri , cabaran kewangan peribadi, bentuk badan… 

Dunia , dan masyarakat di sekeliling anda sentiasa melihat (lalu menggambarkan imej anda dalam minda mereka) dalam pelbagai bentuk dan meletakkan anda dalam kategori yang tertentu (mengikut pengalaman mereka yang lalu , masakini, juga pengetahuan sedia ada). 

Dari segi pandangan visual , iaitu apa yang anda gayakan, personaliti, bahasa dan gerak isyarat badan , tingkah laku – kehadiran anda di sisi mereka akan menjadi satu rujukan untuk menilai (baik, buruk – positif atau negatif) anda sebagai seorang individu. 

Tidak terkecuali, nilai rasional atau rational value dari segi pengalaman , kepakaran atau kemahiran, pengetahuan anda yang unik – ini semua kekuatan peribadi anda yang seharusnya menjadi sebab utama untuk anda lebih berdaya saing menggapai impian atau matlamat kehidupan. 

Mulakan penjenamaan imej peribadi anda hari ini, atau anda akan ketinggalan jauh di belakang… – Perunding Imej Emi Idura


Penulis merupakan seorang Perunding Imej , Etiket dan Warna Profesional (UK), Personal Branding Strategist (CPBS-USA), kolumnis di Utusan Malaysia MEGA-Rona dan personaliti TV yang sentiasa mendapat jemputan bagi memeriahkan program seperti TV Al Hijrah Assalamualaikum #Lifestyle malah pernah menjadi hos kepada segmen WOW! Apa Kata Wanita RTM TV1 pada tahun 2017 yang lalu. 

Untuk sebarang konsultasi mengenai

  1. Imej peribadi anda,
  2. Pertanyaan mengenai program bengkel berkaitan dengan Imej, Etiket juga Grooming di Pejabat, Institusi Pengajian, Persatuan atau, mungkinkah anda…
  3. Berimpian untuk menjadi sebahagian daripada team Perunding Imej dan Warna Profesional seperti kami , sila hubungi Puan Emi Idura di talian +012-9023625 atau emel top2toestyliesta@gmail.com hari ini !

PENSIJILAN TTT PIC

 

 

SaveSave

SaveSave

SaveSaveSaveSaveSaveSaveSaveSave

SaveSave

Hindari Imej Makcik Bawang

agriculture-bulb-close-up-161603.jpg

Hanya 40 milisaat diperlukan untuk imej peribadi anda dinilai, baik secara positif atau negatif di media sosial.

 Jika angka di atas menakutkan anda untuk membaca perkongsian saya seterusnya, anda berada di kolum yang tepat.

Dengan fenomena dan gelaran makcik bawang yang semakin menjadi-jadi sejak tahun 2017 yang lalu, terpanggil untuk saya berkongsi minggu ini mengenai istilah kegemaran netizen ketika ini.

Dikatakan merujuk kepada golongan wanita yang sering menyertai kenduri kendara majlis, sambil duduk beramai-ramai memotong bawang, mereka ini gemar bercerita dan mengumpat antara satu sama lain. Fanatik dengan drama cerita melayu , mereka boleh menangis bercerita bab lakonan pelakon pujaan masing-masing sambil memotong bawang di tangan.

Tidak kurang ada juga yang berpendapat, istilah makcik bawang ini mula-mula diperkenalkan di halaman Facebook Kisah Rumah Tangga, kerana kumpulan ini gemar berkongsikan perihal rumah tangga orang lain. Semenjak itu, istilah ini semakin kerap digunakan dan mendapat hampir 7ribu tanda pagar #makcikbawang di Instagram.

Persepsi itu Realiti

Setiap saat, waktu , malah setiap hari (dalam kehidupan), orang ramai akan menentukan pandangan mereka terhadap anda berdasarkan tindakan dan tingkahlaku anda , yang mereka perhatikan selama ini. Proses ini dinamakan satu persepsi atau penanggapan.

Walaupun anda tidak dapat mengawal pandangan orang ramai, tetapi anda mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas tindakan anda. Bertindak secara proaktif, dalam menguruskan tanggapan ini merupakan strategi utama untuk anda dikenali , mendapat kredit atas hasil usaha kerja anda dan yang paling penting kemajuan karier malah kejayaan perhubungan peribadi!

“Kita menilai sesebuah buku , berdasarkan kulit luaran mereka. Tidak dapat dielakkan kerana itulah yang sebenarnya berlaku,” begitulah menurut kata Nicholas Rule, seorang Profesor Psikologi dari University of Toronto, Amerika Syarikat ini.

Tanggapan pertama, dalam erti kata lain, bukan sahaja pantas, tepat dan akan melekat lama di minda seseorang.

Jika penampilan yang menarik, profesional, tidak keterlaluan sering dinilai pada pandangan pertama, begitu jugalah pakej peribadi seseorang di dalam media sosial. Selain status dan gambar yang dimuatnaik, setiap pilihan kata-kata, gaya bahasa, intonasi menggambarkan kesihatan mental dan latarbelakang si penulisnya secara tidak langsung.

Imej Makcik Bawang

Berapa ramai antara kita hari ini yang benar-benar mengambil tahu atau sedar akan kepentingan menjaga dan menguruskan imej peribadi, walaupun sekadar di media sosial?

Selain tujuan untuk menghiburkan diri , dengan alasan untuk ‘bersosial’ , setiap tindakan , luahan kata-kata, gambar yang dimuatnaik juga pendapat masing-masing boleh menjerat diri sendiri jika tidak diuruskan dengan betul. Tidak hairanlah, kita melihat semakin banyak tanda pagar diperkenalkan seperti #doayangbaikbaik yang kini mencecah lebih 176k, #jangankecamsaya pula dengan 168k telah dimuatnaik seolah-olah mengharapkan agar orang ramai seperti golongan makcik-makcik bawang ini tidak mudah mengecam , memberi pandangan negatif kepada si penulisnya atau pemilik akaun profil.

Jujur dengan saya, inikah imej yang ingin kita tonjolkan sebagai seorang individu?

Adakah dengan mengecam, memuatnaik pendapat yang negatif dapat menyelesaikan masalah atau isu tersebut.

Bagaimana kiranya jika kita berfikir secara positif pula (tukar mindset), senyum dengan tindakan orang lain yang bertindak mengikut luar akal fikiran , memilih untuk sekadar menjadi pemerhati dan tinggalkan sahaja kontroversi tersebut tanpa berbuat apa-apa?

Orang yang optimis akan melihat sesuatu isu itu sebagai satu peluang, satu pengajaran – apa yang mereka boleh pelajari untuk memperbaiki diri (agar tidak terjebak di dalam situasi seperti itu)

Mereka yang pesimis, akan sentiasa melihat ia sebagai sesuatu yang negatif, dan tidak pula mahu mengambil iktibar dan belajar untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Mereka ini antara orang-orang yang rugi dan sukar untuk berjaya di dalam kehidupan kerana sikapnya yang sentiasa negatif.

Pun begitu, setujukah dengan saya – istilah makcik bawang ini tentunya tidak sesekali akan wujud, jika kita seorang individu yang matang dan bijak dalam menguruskan pandangan dan persepsi orang ramai agar imej peribadi senantiasa dipandang positif.

Hmm, ada caranya!

Amalkan Detoks Media Sosial

Biasa juga kita dengar dengan detoks tubuh badan , bukan?  Tapi kali ini, tidak salah rasanya jika kita cuba sesuatu yang baru dengan amalkan pula detoks media sosial ini.

Menulis dari pengalaman peribadi, berikut adalah antara amalan detoks media sosial yang anda boleh mula praktikkan , agar tidak terjebak ke dalam golongan makcik bawang ini :-

  1. Unsubscribe dan Unfollow – lupakan dan tinggalkan sahaja kumpulan Facebook dan rakan-rakan yang tidak memberikan anda impak positif atau inspirasi dalam kehidupan. Mudah sahaja untuk mengenalpasti golongan ini. Mereka cenderung untuk hanya melihat perkara yang negatif dan pilihan perkataan harian mereka sentiasa ke arah itu. Hati-hati kerana ia boleh berjangkit kepada anda pula satu hari nanti!
  2. Tutup ‘push notification’ – sukar untuk dilakukan tetapi ia perlu agar kita tidak terlalu obses dengan perkembangan terkini selebriti mahupun instafamous, atau individu dan kumpulan whatsapp yang diikuti secara rapat.
  3. Jauhkan segala alat mudah alih dari katil sebelum tidur – selain kajian mengatakan ia tidak baik untuk kesihatan, terutamanya penggunaan ketika di dalam bilik gelap, ia juga dapat mendisplinkan diri agar tidak terlalu ketagih untuk memegang dan membaca perkembangan mahupun status terbaru rakan-rakan di media sosial.
  4. Rehat sehari dan katakan TIDAK kepada semua akaun Facebook, Instagram mahupun Twitter – percayalah, anda boleh lakukan ! Sekadar untuk membuang masa lapang dengan membaca , tidak mengapa, tetapi cuba sesekali untuk tidak memberikan sebarang ‘LIKE’ atau komen, mahupun memuatnaik status untuk satu hari ini.
  5. Bertindak sekadar pemerhati – jangan jadikan diri obses dengan kehidupan orang lain. Jika anda gemar membuka akaun Facebook mahupun Instagram , jadikan ia sebagai hobi menghabiskan masa lapang anda, hadkan sekadar 20minit minimum (awal pagi) untuk menjawab komen di status anda sendiri dan melihat sekadar sepintas lalu di akaun FB rakan-rakan anda dan ulanginya semula ketika rehat waktu tengahari dan sebelah petangnya, selepas jam 6.

Media sosial merupakan medium pantas untuk anda berkomunikasi dan bersosial. Tetapi jangan jadikannya medan untuk anda menjadi individu yang lemah kesihatan mentalnya dengan berfikiran negatif sepanjang masa. Mungkin ada yang cuba memberi alasan – ianya tempat atau ruang untuk melepaskan tekanan harian – tetapi hati-hati , kerana ia boleh menjerat dan merosakkan imej peribadi anda tanpa anda sedari.

Artikel ini “Cuba elakkan imej makcik bawang” telahpun disiarkan di Utusan Malaysia -MEGA RONA di bawah kolum Bicara Imej – April 2018, hasil tulisan Puan Emi Idura sendiri.


Penulis merupakan seorang Perunding Imej , Etiket dan Warna Profesional (UK), kolumnis di Utusan Malaysia MEGA-Rona dan personaliti tv yang sentiasa mendapat jemputan bagi memeriahkan program seperti TV Al Hijrah Assalamualaikum #Lifestyle malah pernah menjadi hos kepada segmen WOW! Apa Kata Wanita RTM TV1 pada tahun 2017 yang lalu.

Untuk sebarang konsultasi mengenai imej peribadi anda, pertanyaan mengenai program bengkel berkaitan dengan imej dan etiket di pejabat, atau anda ingin menjadi sebahagian daripada kami (Perunding Imej dan Warna Profesional) , sila hubungi Puan Emi Idura di +012-9023625 atau top2toestyliesta@gmail.com.

 

Senarai ‘must haves’ – warna-warna neutral!

Skim Warna-39.png

Warna yang membosankan?

Ia merupakan warna asas bagi kebanyakkan wardrobe , bukan sahaja si fashionista. Mungkin agak membosankan untuk sesetengah individu, tetapi percayalah, kita tidak dapat menidakkan versatility warna neutral ini. Kasut, handbag , tali pinggang, juga koleksi pakaian yang lain, pasti ada sahaja yang memerlukan warna asas neutral sebagai padanan mix and match gaya. 

Senarai Must Haves!

Secara umum, warna-warna neutral ini terdiri daripada warna hitam , putih , kelabu (hasil campuran hitam dan putih itu tadi), biru navy, juga beberapa variasi tona warna perang (muda, cerah, gelap). Warna-warna ini diklasifikasikan neutral kerana penggunaannya yang boleh dicampurkan atau di-matchkan dengan warna lain. Asasnya, warna neutral BOLEH dimix and match dengan semua warna dan kombinasi warna yang lain – tidak menghasilkan banyak emosi. Disebabkan faktor serba guna ini  warna-warna neutral menggambarkan si pemakainya sangat elegan , stylish untuk ke sebarang majlis atau tema dan ianya amatlah digalakkan. 

Kenapa Warna Neutral

Trend proof : Boleh diterima untuk digayakan ke pelbagai majlis.

Fleksibel : Disuai padan dengan warna pilihan anda tanpa dilihat terlalu ‘mencuba’. Mudah digayakan kerana hampir semua warna boleh dimix and match.

Gaya Klasik : Suaikan dengan mana-mana pakaian yang anda ingin kurang perhatian (kerana warna neutral ini tidak memberikan banyak tarikan emosi kepada yang melihatnya).

Kepelbagaian suai padan : Anda akan dapati mudahnya untuk menghasilkan kombinasi pakaian menggunakan koleksi warna neutral. Ya…tanpa perlu berfikir panjang..’hmmmm, warna apakah yang sesuai untuk dipadankan dengan warna merah?’

Tip Membeli Warna Neutral

1. Sentiasa utamakan warna neutral sebelum membeli baju yang agak rumit corak dan warnanya – yang tidak mudah untuk disuaipadan dengan warna lain.

2. Untuk mengelakkan pembaziran, baju yang paling mahal juga digalakkan dalam warna-warna neutral.

3. Baju yang sering dipakai ke pejabat, atau ianya sebahagian daripada kod pakaian ke pejabat, pastikan warna-warna neutral diutamakan terlebih dahulu.

4. Jika anda berundertone panas, Spring atau Autumn , warna neutral terbaik adalah seperti warna gold, krim dan perang coklat.

5. Manakala jika anda berundertone sejuk pula, seperti Summer atau Winter, warna neutral terbaik adalah silver, putih, kelabu dan biru navy.

Pilihan warna bajet ? 

Sekiranya anda masih merancang, bagaimana untuk tampil bergaya dengan bajet bulanan yang terhad, inilah jawapannya! Warna neutral ternyata tidak lapuk ditelan zaman malah kekal segar di hati peminat fesyen.


Penulis merupakan seorang Perunding Imej , Etiket dan Warna Profesional (UK), kolumnis di Utusan Malaysia MEGA-Rona dan hos kepada segmen WOW! Apa Kata Wanita RTM TV1. Untuk sebarang konsultasi mengenai imej peribadi anda, pertanyaan mengenai program bengkel berkaitan dengan imej dan etiket, atau anda ingin menjadi sebahagian daripada kami (Perunding Imej dan Warna Profesional) , sila hubungi Puan Emi Idura di +012-9023625 atau top2toestyliesta@gmail.com.

5 Perkara Anda Patut Pelajari dari – How Do I Look Asia!

 

WoW!Apa Kata Wanita-10.png

Bagi anda peminat setia Jeannie Mai , hos utama How Do I Look Asia di @DIVAtvAsia pastinya anda ternanti-nanti hasil makeover yang dilakukan ke atas peserta bertuah, di akhir rancangan tersebut.  Sebagai peminat fesyen dan apa sahaja topik yang berkaitan dengan wanita dan gaya,  bohong jika saya katakan saya tidak teruja setiap kali program ini disiarkan di kaca tv.

Walaupun sudah memasuki musim ke-3 ia disiarkan, saya masih tercari-cari jawapan, dan bagaikan ada sesuatu yang tidak melengkapi program popular ini. Mungkin bagi anda yang tiada pengalaman atau tidak pernah didedahkan dengan kerjaya di sebalik tabir , makeover seseorang individu yang lain, program ini pasti memberikan anda satu idea. Ya, bagaimana nak memilih pakaian, potongan dan warna rambut, pilihan beg tangan , kasut dan sebagainya. Wahh, tentunya satu aktiviti yang menyeronokkan, bukan?

Pernah berpeluang menata gaya seorang selebriti popular tanahair dan diberi tugasan di luar negara beberapa tahun yang lalu , telah memberikan saya sedikit sebanyak latarbelakang dan fungsi kerjaya seorang stylist. Terus terang saya akui, pertama kali menerima styling job , ia membuka mata saya tentang betapa terhadnya expertise yang boleh saya tawarkan, dengan kerjaya sebagai Perunding Imej. Walaupun dibekalkan dengan tajaan pakaian dari pelbagai jenama butik juga ada yang milik peribadi selebriti tersebut, ia seakan tidak memberi saya peluang manata gaya menggunakan ilmu yang telah saya pelajari selama ini. Ya, seakan tiada kepuasan di situ.

Pun begitu, saya mengambil pengajaran dari pengalaman lalu , yang mungkin dapat memberikan anda sedikit idea dan inspirasi , sekiranya satu hari nanti anda berkeinginan untuk mendapatkan khidmat personal stylist atau perunding imej untuk majlis atau program yang bakal dihadiri.

Screen Shot 2017-09-08 at 4.09.00 PM.png

  1. Apa sahaja niat atau impian anda dalam melakukan 360º image makeover , perkara pertama yang harus anda kenalpasti adalah siapa anda hari ini dan apakah mesej yang anda ingin sampaikan sebagai seorang individu yang bernama [           ].
  2. Ia merangkumi segalanya aspek berkaitan – pekerjaan dan jawatan hari ini, industri pekerjaan, kedudukan kewangan, personaliti gaya , cabaran bentuk badan dan WOW faktor.
  3. Kejayaan dalam proses image makeover seseorang individu bukan hanya terletak pada imej luaran sahaja -iaitu penampilan visual tetapi imej peribadi secara keseluruhannya!
  4. Ianya bukan tentang trend fesyen terkini , jenama, label mewah , atau apa yang diviralkan di trending list – tetapi IMEJ yang anda lihat di sebalik cermin ketika bersiap di pagi hari.

Screen Shot 2017-09-08 at 4.25.41 PM

Apa yang terlebih dan apa yang terkurang ? Jangan risau dan panik dengan kenyataan di atas. Mengenalpasti kelebihan dan kekurangan diri sebenarnya merupakan satu guide atau panduan penting dalam menentukan mesej – siapa anda hari ini. Dan bagaimana anda mahu mesej itu diinterpretasikan oleh orang ramai.

Screen Shot 2017-09-11 at 12.01.57 PM.png

Nah, setelah mengenalpasti kelebihan dan kekurangan diri , barulah bertindak dengan mengisi mesej imej yang anda inginkan.

Screen Shot 2017-09-08 at 5.24.34 PM

Jadi tidak hairan jugalah, jika peserta How Do I Look Asia mahupun mana-mana individu yang berkeinginan untuk makeover imej mereka , tidak mampu untuk kekal konsisten dalam menampilkan imej yang telah mereka kecapi seperti yang kita lihat di akhir rancangan, kerana ia hanya bersifat sementara dan tiada bimbingan menyeluruh.

Percayalah, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dituruti dan dijadikan tabiat sehingga mencapai tahap profesional tetapi melalui kesedaran akan keperluan menjaga imej peribadi, semuanya akan menjadi senang akhirnya.

Screen Shot 2017-09-08 at 5.37.13 PM.png

  1. Makeover bukan satu aktiviti – an overnight job or process.
  2. Antara realiti dan fantasi – jangan mudah terpedaya dengan apa yang dilihat cantik pada orang lain – sangkaannya pasti cantik pada diri anda (salah!). Harus diingat –  ianya tentang siapa anda, kelebihan dan kekurangan diri anda sebagai individu. Setiap individu adalah unik dan istimewa. Gunakan kelebihan itu sepenuhnya.
  3. Dapatkan konsultasi dari mereka yang pakar. Lakukan sedikit research dan jangan terlalu mudah terpedaya dengan gaya dan fesyen trend terkini.
  4. Personal Makeover mampu meningkatkan self esteem anda secara tidak langsung malah bakal menyediakan anda peluang yang lebih besar – baik dalam karier, perhubungan dan perniagaan.
  5. At the end of the day, anda harus tampil sebagai sebuah jenama yang dihormati, dipercayai dan diyakini. Jangan sesekali menggagalkan momen first impression hanya kerana anda tiada wow faktor yang membolehkan seseorang mendekati dan berkata ‘hello’ kepada anda!

Penulis merupakan seorang Perunding Imej , Etiket dan Warna Profesional (UK) dan hos kepada segmen WOW! Apa Kata Wanita RTM TV1. Untuk sebarang konsultasi mengenai imej peribadi anda, atau pertanyaan mengenai program bengkel berkaitan dengan imej dan etiket, sila hubungi Puan Emi Idura di +012-9023625 atau top2toestyliesta@gmail.com.

Rahsia Pilihan Jeans

Screen Shot 2017-08-19 at 1.03.46 AM

Adakah badan anda yang tersalah saiz ? Atau mungkinkah jenis jeans yang dibeli ?

Tampil menarik dalam sepasang seluar jeans biru yang bersaiz standard adalah matlamat yang agak sukar dicapai bagi ramai wanita. Percayalah, anda tidak keseorangan di dalam hal ini! Sebagai contoh, seluar jeans yang sudah berpadanan di pinggang, boleh kelihatan menggelembung di bahagian kaki . Rekaan dan jahitan jeans yang kelihatan cantik di bahagian kaki, menghasilkan visual ‘muffin top’ di bahagian perut si pemakainya pula.

Bak kata, sukar juga mendapatkan sepasang seluar jeans yang sesuai untuk diri sendiri. Lebih-lebih lagi dengan memiliki bentuk badan yang memiliki kekurangan di sana sini.

Harus saya tekankan , bahawa pemilihan seluar jeans bukan hanya bergantung kepada saiz, juga jenama atau label. Padanan jeans yang sesuai sebenarnya memerlukan anda mengenalpasti perkadaran badan atau ‘body proportion’ masing-masing. Setiap individu dilahirkan memiliki body proportion yang berbeza, jesteru itulah memilih jeans dengan rekaan standard untuk semua atau trend terkini bukanlah satu idea yang saya sarankan.

Secara umumnya, aspek utama yang perlu anda pertimbangkan sebelum memilih dan membeli seluar adalah cawatnya. Artikel kali ini bakal saya kongsikan apa itu cawat, bagaimana ia diukur dan mengapa ia tidak harus diabaikan. Saya juga akan membincangkan mengapa seluar pilihan ramai jenis ‘low rise’, tidak ideal untuk semua jenis dan bentuk badan wanita. Cawat seluar diambil kiraannya (menggunakan tali pengukur) dari tengah jahitan punggung sehinggalah ke paras pinggang anda (bukan pusat). Panjangnya berbeza dan mencecah antara 7 hingga 12 inci (super high rise hingga super low rise jeans). Atau secara visualnya dari hadapan, ukuran ini juga boleh diambil dari celah kelangkang seluar hinggalah ke paras pinggang masing-masing. Cawat seluar ini sangat penting kerana ia menentukan di mana seluar anda akan terletak pada badan , secara tidak langsungnya memberikan visual lengkung pinggang si pemakainya.

Sebelum kita terus mengenalpasti jenis-jenis cawat jeans yang ada atau trending di pasaran hari ini, langkah pertama yang perlu anda lakukan adalah mengira perkadaran badan sendiri.

Topik ini agak rumit untuk dirumuskan di dalam sebuah artikel pendek ,  lebih mudah jika ia didemo secara perseorangan mahupun di dalam program bengkel yang saya kendalikan . Apapun secara ringkasnya, apa yang anda perlu adalah tali pengukur dan anda dikehendaki berdiri tegak menyandar pada dinding. Seorang rakan lagi diperlukan untuk mengukur perkadaran badan pertama – iaitu jarak dari anak rambut (atas tengah dahi) sehingga hujung dagu. Secara idealnya, ukuran perkadaran badan pertama ini adalah 20cm atau hampir 8inci.

Bagi mereka yang memiliki saiz cawat yang ideal (perkadaran badan yang ke-empat) , ukuran perkadaran badan pertama itu tadi seharusnya sama dengan panjang cawat seluar hadapan.

Apapun jangan panik dengan kenyataan ini. Apa yang berlaku adalah, jika anda dapati ukuran panjang cawat yang sedikit pendek dari panjang perkadaran badan pertama (panjang muka) , ia memberikan tanda bahawa anda mempunyai cawat yang pendek dan sesuai sangatlah untuk anda memilih atau dipadankan dengan jeans yang bertanda ‘low rise’. Begitu juga sebaliknya , jika anda dapati saiz cawat yang terlebih panjang dari ukuran perkadaran badan pertama itu tadi. Asalnya ukuran muka anda mungkin 20cm, dibandingkan pula dengan saiz cawat yang mencapai sehingga 25cm.

Bagi anda yang tergolong dalam kategori ini , seperti saya juga; anda akan dapati bahawa penggunaan ‘low rise jeans’ amatlah tidak selesa , dan anda tertanya-tanya mengapa ia berlaku pada anda, sedangkan ia nampak menarik dan terletak cantik pada badan orang lain.

Adakah ia sesuatu yang anda boleh kaitkan dengan cabaran pembelian jeans anda hari ini? Jika ya… terus kan membaca.

Kenali torso (batang tubuh badan) anda

Saya pasti anda mungkin pernah terdengar mengenai mereka yang bertubuh panjang (di atas) dan berkaki pendek. Atau, bertubuh pendek (di atas) dan berkaki panjang. Manakala, tidak terkecuali , ada juga yang mempunyai tubuh badan yang seimbang (batang tubuh di atas vs bahagian kaki). Apa pun jangan khuatir, ia bukan menunjukkan anda tidak sempurna atau sebaliknya. Mengenalpasti perkadaran tubuh (terbahagi kepada lapan bahagian ini) amat penting dalam penggayaan seseorang individu. Cara yang paling cepat dan ringkas , adalah dengan mengukur dari bawah bahagian dada (tempat bra anda terletak)dengan menggunakan tangan kanan anda, dan tangan kiri di bawahnya. Lihat , jika masih ada ruang antara tangan kiri itu tadi dengan kedudukan pusat, bermaksud anda mempunyai torso tubuh badan yang panjang. Jika sebaliknya, iaitu tangan kiri benar-benar terletak pada pusat atau melebihi garisan pusat, berkemungkinan anda memiliki torso badan yang pendek (di atas).

Jeans yang ada di pasaran terdiri daripada

Super High Rise – ianya sesuai untuk memberikan visual kaki yang panjang. Pinggang seluar kebiasaannya terletak lebih dari 1 inci dari paras pinggang.

High rise jeans – sesuai untuk mereka yang mempunyai torso badan yang panjang. Dengan memilih high rise ia memberikan visual torso badan yang sedikit pendek. Pinggang seluar kebiasaannya terletak 1 inci atas paras pinggang.

Screen Shot 2017-08-19 at 12.06.00 PM.png

Medium rise jeans – sesuai untuk mereka berbadan ‘curvy’ seperti ‘hourglass’. Pinggang seluar terletak betul-betul pada paras pinggang. Terserlah kelangsingan bentuk badan si pemakainya!

Medium to low rise jeans – pinggang seluar terletak 2-3 inci di bawah pusat. Sangat popular di antara kebanyakkan pengeluar denim, terutamanya untuk wanita. Terbaik untuk meratakan punggung.

Low rise jeans – paras pinggang seluar yang sangat rendah, kebiasaannya 3-5 inci di bawah pusat. Sesuai bagi mereka yang mempunyai perut yang kempis. Bagi anda yang mempunyai cabaran ‘muffin tops’ atau lebihan perut yang terbonjol keluar – amatlah tidak disarankan memilih jenis seluar begini.

Tips memilih jenis cawat 

1.     Sentiasa pertimbangkan bentuk badan anda, panjang torso dan perkadaran. Sekiranya anda mempunyai torso badan yang panjang , anda memerlukan jenis high rise (cawat panjang). Memilih low rise jeans hanya akan memberikan visual kaki yang lebih pendek pula.

2.     Sekiranya anda sangat sensitif dengan saiz perut anda yang besar , pemilihan high rise jeans akan membantu mengurangkan visual perut itu. Tetapi jangan salah anggap penggayaan high rise jean ini sepertimana penggunaan ‘girdle’ pula ya!

3.     Ada 2 perkara perlu dipertimbangkan sebelum memilih jenis low rise jeans. Pertama, ia mampu menayangkan ‘butt cleavage’ atau celah punggung ketika anda duduk. Keduanya, lebihan berat (lemak) di perut akan tertolak ke atas sehingga menyebabkan terbentuknya ‘muffin top’.

4.     Super high waisted jeans atau super high rise kadangkalanya boleh memberikan tanggapan ‘old fashion’ kepada si pemakainya. Alternatifnya , pilih pinggang seluar yang terletak 1 inci di atas paras pinggang.

5.     Super low rise jeans sangat sesuai untuk mereka yang berbadan langsing.Sekiranya anda berbentuk pir dan mempunyai berat berlebihan di antara pusat dan paras pinggang seluar jeans – ia seakan-akan menonjolkan lagi pinggul anda yang bersaiz besar.

Selamat Mencuba!


Artikel ini telah disiarkan di kolum Bicara Imej Utusan Malaysia – MEGA Rona pada Rabu 2 Ogos 2017 (m.s 21).

Untuk mendapatkan khidmat runding Puan Emi, sesi secara peribadi atau bercadang untuk mengadakan bengkel, juga program melibatkan latihan di peringkat jabatan atau korporat, sila hubungi beliau di :-

top2toestyliesta@gmail.com | +012 9023625