Secara peribadinya, saya berpendapat – kerana kurangnya pendedahan juga program kesedaran (awareness program) menyeluruh daripada pihak kumpulan Perunding Imej (yang bertauliah) di Malaysia ini untuk menyebarkan dan berkongsi ilmu kepada semua tentang pentingnya penjagaan dan pengurusan imej peribadi , Pra dan Pasca PRU14 (2018), telah memperlihatkan ramai individu, rakan-rakan dan kenalan di media sosial menyerlahkan ‘true color’ atau keperibadian mereka sebenar (tanpa disedari).
Kerana terlalu obses dalam memperjuangkan parti masing-masing , secara tidak langsung ia telah mencemarkan imej peribadi mereka di dalam diam dan memberikan impak gambaran yang negatif untuk satu jangka masa panjang jika mereka tidak berbuat sesuatu atau bertindak dengan pantas untuk memperbetulkannya.
Obses yang saya maksudkan di sini, antaranya mereka terlupa bahawa status yang dimuatnaik atau ketika menjawab status orang lain – cara penulisan , gaya bahasa, intonasi, penggunaan bahasa kasar, huruf besar seakan sedang marah atau menekankan sesuatu isu – kadangkalanya mencerminkan emosi penulis ketika itu dan tahap EQ mereka sebagai individu.
Ramai berpendapat, menjaga imej hanya untuk mereka, individu yang berjaya dan bekerjaya. Seperti golongan profesional, artis, ahli politik, mahupun khas buat mereka ingin glamour dan yang berkemampuan. Ada juga yang berpandangan , menjaga imej ini hanya untuk wanita, kerana ia lebih cenderung kepada bab kecantikan dan penjagaan diri (grooming).
Jawapan saya? Menjaga imej peribadi adalah tanggungjawab setiap individu.
Ya, setiap individu tanpa mengenal jantina, umur, pencapaian akademik, kedudukan kewangan peribadi, cabaran bentuk badan , gaya hidup , jawatan hari ini mahupun industri tanpa berfokuskan kepada satu kumpulan sahaja.
Menariknya, ketika dalam perjalanan pulang daripada mengendalikan program Kecemerlangan Imej dan Etiket di Desaru, Johor bergegas ke Lapangan Terbang Senai Johor Bharu, untuk pulang ke Kuala Lumpur baru baru ini – saya menerima mesej Whatsapp dan panggilan daripada seorang wartawan MStar Online (BM portal) yang bersungguh ingin mendapatkan pandangan peribadi saya tentang penampilan calon pilihanraya kali ini, dan bagaimana ia boleh mempengaruhi jumlah undi mereka nanti.
Sejujurnya, saya cuba menolak permintaan wartawan tersebut untuk ditemubual, kerana secara peribadi agak kurang selesa untuk mencampuradukkan isu politik di dalam kerjaya dan perniagaan yang saya jalankan. Tetapi kerana saya hargai panggilan wartawan tersebut, dan kesanggupan beliau untuk menunggu jawapan penuh saya kepada lebih 6 soalan yang diberi walaupun sehingga saya pulang ke Kuala Lumpur dan hanya menjawab keesokkan harinya…
Antara soalan-soalan yang diajukan (tetapi tidak disiarkan sepenuhnya) …
1. Any tips untuk calon-calon yang akan pergi berkempen? Adakah penampilan juga antara faktor boleh menyumbang undi kepada calon?
Jawapan :
Imej merupakan cerminan diri dan cara penampilan kita hari ini sebenarnya, menyampaikan mesej tertentu, apa yang kita fikir, rasa , bagaimana kita bertindak dan juga tingkah laku kita ketika itu. Ia menyumbang sebanyak 55 peratus daripada sejumlah keseluruhan imej peribadi seseorang , selain tingkah laku dan etiket 38 peratus dan selebihnya cara mereka berkomunasi – 7 peratus (baik secara lisan , mahupun bukan lisan).
Benar, penampilan boleh menyumbang undi kepada calon tetapi ia juga bergantung kepada situasi. Kerana tanggapan pertama seseorang individu terhadap individu yang lain berlaku dalam sesingkat 30 saat yang pertama. Dalam sesingkat ini, persepsi, pandangan, penilaian terbentuk dalam mesej dan gambaran yang positif mahupun negatif – baik ataupun sebaliknya.
Tetapi jika pertemuan itu bukanlah kali pertama buat mereka, maka persepsi , penilaian dari pengalaman lalu atau semasa akan mengatasi segala-galanya. Kerana persepsi bukan sahaja berdasarkan visual penampilan (melihat), tetapi apa yang mereka dengar (dan baca) juga sentuhan deria yang lain (seperti bau, rasa, sentuhan).
2. Contoh calon muda masuk kampung, apa pakaian yang perlu mereka guna? Jenis macam mana dan warna apa yang sesuai?
Jawapan :
Sebagai calon muda dan pertama kali masuk ke kawasan kampung, apa yang mereka perlukan adalah kepercayaan dan keyakinan orang ramai, selain dihormati. Mereka ini harus dilihat sebagai seorang yang mudah didekati , peramah, boleh dipercayai tetapi masih mengekalkan kredibiliti sebagai seorang calon.
Saya mencadangkan agar mereka elak dari menggunakan pakaian berjenama mahal yang berlogo mahal (baju, kasut, beg tangan , tudung, jam tangan , cermin mata, tali pinggang, topi ) termasuk kenderaan yang digunakan – kerana persepsi negatif orang ramai mudah terbentuk berdasarkan apa yang mereka lihat.
Mereka tidak mahu atau perlukan calon yang ‘over’ menunjuk-nunjukkan kemewahan, sedangkan mereka hidup kadangkalanya ada juga yang kais pagi makan pagi. Ciri seorang calon yang peramah, mudah didekati, eloklah dipilih daripada warna yang sedikit cerah dan lembut, mengekalkan kekemasan baju. Kredibiliti boleh dilihat berdasarkan jenis fabrik yang lebih berstruktur berbanding kain yang lembut (beralun).
3. Jika kita tengok pada hari ini, ramai ahli politik tidak begitu menitik beratkan penampilan / imej. Pada pendapat Puan , siapa ahli politik yang boleh dijadikan panduan dari segi penampilan / imej untuk yang lain. Contoh YB KJ.
Jawapan Perunding Imej Emi Idura :
Saya sukakan kedua-dua YB KJ dan YB Syed Saddiq, selaku Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Mereka mempunyai personaliti yang berbeza, unik dan patut menjadi contoh kepada belia . Yang menjadikan mereka unik adalah kerana personaliti gaya peribadi yang ditonjolkan. Kedua-duanya menyampaikan mesej individu yang berkeyakinan , wibawa, boleh dipercayai, profesional .
YB KJ juga dilihat bijak bermain dengan pilihan warna dan aksesori yang menunjukkan beliau tidak begitu serius (menggambarkan perwatakan peramah) dan selesa dengan personaliti gayanya yang agak klasik dan sedikit romantik ini.
Pun begitu, tidak kurang juga dengan YB Syed Saddiq, dengan kelebihan kepetahan beliau berbicara (ditambah dengan pengalaman sebagai Juara Debat Asia), gaya penampilan yang penuh karisma, ia merupakan plus-point buat anak muda ini untuk mendapat tempat di hati pengundi.
4. Kita tengok calon tua tidak begitu menitikberatkan soal penampilan, apa pendapat Ms.Emi ? Ada tip tak supaya mereka berani tampil dengan imej yang lebih fresh?
Jawapan Perunding Imej Emi Idura :
Well, saya tidak menyalahkan mereka seratus peratus dalam hal ini.
Kebanyakkan mereka di bawah kategori generasi baby boomers, tidak merasakan akan kepentingan mempunyai penampilan yang baik.
Sebab itu jugalah kehadiran dan kewujudan kami sebagai Perunding Imej (yang bertauliah) adalah untuk memberikan sebaik mungkin kesedaran kepada semua golongan tentang kepentingan akan penjagaan dan pengurusan imej peribadi. Ini kerana imej itu sendiri akan membantu kepada kejayaan individu baik secara peribadi mahupun profesional.
Menjaga imej tidak semestinya seseorang itu harus obses dengan trend semasa, label mahupun jenama. Apa yang penting adalah, tampil dengan imej yang sesuai dengan personaliti gaya peribadi, bajet, bentuk badan badan masing-masing, dan terutamanya mesej (berpakaian) yang ingin disampaikan.
Elakkan dari pemakaian yang nampak selekeh, jaket yang besar dan tidak kemas, jauhi penggunaan warna merah yang keterlaluan di dalam gaya, aksesori berjenama mewah dan mahal.
Tanya diri sendiri ,
Mahukah saya dilihat sebagai individu yang penuh berkeyakinan, boleh dipercayai, mempunyai kredibiliti dan penuh karisma?
Atau,
Kerana saya seorang calon (parti), penampilan itu tidak penting, cukup sahaja dengan personaliti gaya hari ini yang menunjukkan saya seorang yang rileks, santai dan selesa ? Juga, saya seorang yang berpangkat tinggi dan mempunyai gelaran, pasti orang ramai akan hormat kepada saya secara automatik.
Jika pilihan kedua adalah jawapannya, maka calon ini memerlukan khidmat seorang Perunding Imej (juga Personal Branding Strategist) untuk membantu.
5. Selain jaga imej dan penampilan – apa yang perlu ada pada dalam diri setiap calon?
Jawapan Perunding Imej Emi Idura :
Perlu saya tekankan di sini – penampilan itu sendiri adalah sebahagian besar daripada imej seseorang individu. Ia merangkumi sebanyak 55% daripada sejumlah besar keseluruhan imej kita.
Cara kita berpenampilan , bagaimana tingkah laku (termasuk etiket) dan cara kita berkomunikasi memainkan peranan yang sangat besar dalam membina imej peribadi yang baik, berkeyakinan , berkarisma dan dihormati.
Pun begitu , jangan dilupa bahawa ..
Penggunaan bahasa badan yang betul, intonasi suara dan pilihan ayat juga perkataan yang dipilih ketika bertemu orang ramai nanti akan tetap DINILAI. Kenyataan saya ini juga adalah berdasarkan sebuah kajian yang djalankan oleh Prof. Dr Albert Mehrabian, seorang Professor Emeritus of Psychology, UCLA , Amerika Syarikat. Kajian berkenaan ‘Komukasi Efektif’ itu turut menguatkan lagi fakta bahawa imej kita hari ini dinilai berdasarkan ketiga-tiga elemen penting ini, iaitu penampilan (visual), tingkah laku (termasuk cara kita menjaga etiket) juga cara kita berkomunikasi (secara lisan mahupun bukan lisan seperti penggunaan bahasa tubuh).
6. Selain penampilan atau fesyen, penting tak politician ini mempunyai trademark mereka masing-masing. Seperti, Datuk Seri Dr Wan Azizah dengan kipasnya, YB KJ dengan stokin pink, dan YB Nurul Izzah dengan tudung bawalnya?
Jawapan Perunding Imej Emi Idura :
Trademark ini hanyalah satu plus-point kepada calon, secara tidak langsung memberikan satu tanda untuk orang ramai mudah mengingati mereka – ya , jenama peribadi (personal brand).
Apa yang penting sekarang adalah kredibiliti mereka di mata pengundi, terutama di saat-saat minggu terakhir untuk membuang undi pada 9hb Mei 2018 nanti.
Secara peribadi, saya berpendapat sudah agak terlambat untuk meningkatkan visual kredibiliti (dari segi penampilan) walaupun ia mungkin boleh membantu mereka untuk tampil lebih berkeyakinan sepanjang tempoh ini.
Bak kata pepatah, First Impression Lasting Impression.
Terutamanya jika tanggapan pertama (yang terdahulu) telah dicemari dengan pandangan dan penilaian yang negatif, agak sukar untuk mendapatkan lebih keyakinan, penghormatan, malah kepercayaan orang ramai untuk membina perasaan itu semula – Perunding Imej Emi Idura (UK)
Saya juga sangat berpegang dengan kata-kata pepatah ini..
“TRUST TAKES YEARS TO BUILD, SECONDS TO BREAK AND FOREVER TO REPAIR”
“…..Sebab itulah kita semua rasa begitu sedih dengan apa yang berlaku. Namun sebagai parti yang mendokong prinsip demokrasi, kita terima keputusan rakyat dengan hati yang terbuka. Mungkin inilah memberi kita peluang untuk memperbaiki lagi apa sahaja kelemahan dan kekurangan yang perlu kita lakukan walaupun mungkin ini banyak berkisar kepada persepsi daripada realiti.
Siapa yang menang dalam perang persepsi, dia mungkin dapat menguasai sokongan rakyat“ – Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan terakhir beliau sebelum meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO.
IMPAK PASCA PRU14 : YA, PERSEPSI ADALAH REALITI !
Dengan pendedahan kepada media sosial yang kini semuanya boleh didapati di hujung jari , orang ramai hari ini bukan sahaja dapat melihat, membaca , mendengar (apa yang mereka mahu (tahu) malah di sinilah pelbagai persepsi , pandangan, penilaian, hukuman juga kecaman terhadap seseorang mula terbentuk. Baik secara positif ataupun negatif.
Jika apa yang mereka lihat, dengar , baca itu tidak selari dengan nilai peribadi (personal values) , prinsip hidup , fahaman juga pegangan agama – dikuatkan pula dengan pengalaman kehidupan lalu dan masakini, maka gambaran negatif mula bermain-main di minda mereka untuk satu jangkamasa yang lama.
Persepsi inilah yang mengurangkan rasa percaya, perasaan hormat , keyakinan orang ramai sehinggalah ia boleh dibuktikan bahawa apa yang mereka gambarkan selama ini, pandangan, penilaian dan hukuman (judgement) adalah tidak benar sama sekali.
Mungkin ada yang bertanya… Puan Emi, apakah yang boleh saya ambil iktibar dan pelajari daripada pasca PRU14 kali ini?
1. Ini Penting – Elakkan penyakit SS – ‘Syok Sendiri’ !
Saya tahu anda tersenyum. Bukan-bukan… saya tidak tujukan kepada mana-mana individu mahupun parti.
Ini REALITI. Apa yang terjadi adalah satu REALITI, bukan permainan atau perang persepsi. (sebagai seorang individu yang bijak, kita harus terima kenyataan dan cuba pelajari, perbaiki diri dan juga ‘dunia’ sekeliling kita agar menjadi lebih positif)
Disebabkan faktor inilah , kita bertanggungjawab terhadap siapa diri kita hari ini. Mungkin adakalanya sudah berbuih kita mengungkapkan perkataan IMEJ… ‘imej negara tercalar’, ‘imej seorang pemimpin’, ‘imej parti yang memerintah selama 60 tahun…’ dan sebagainya. Tetapi, apakah yang difahami oleh anda (sebagai pembaca) akan maksud IMEJ itu? Adakah ia sekadar perkataan yang dipilih ketika menerangkan sesuatu keadaan (yang telah dicemari? yang negatif ?) tanpa memikirkan impak imej kepada diri anda sendiri? Keluarga ? Karier ?
Bagaimana pula pandangan orang ramai (terhadap diri saya)? Dari dulu hingga kini – adakah ia positif atau negatif ?
Penyakit Syok Sendiri ini bukanlah sesuatu yang baru. Adapun tidak merbahaya buat kesihatan peribadi, tetapi sangat berisiko buat mereka yang ingin mempunyai imej yang baik (mahu dikenali, dihormati, disayangi, dipercayai, diyakini….).
2. Labur dalam penjenamaan imej peribadi – ibarat melabur akan kejayaan anda di masa hadapan!
Tagline ini saya reka , antara tahun-tahun pertama saya memulakan kerjaya di dalam industri perundingan imej ini. Ya sebaik pulang dari menghadiri kursus pensijilan dan akreditasi antarabangsa sebagai perunding imej di London Image Institute , United Kingdom – ya, lebih 5 tahun yang lalu.
Apa itu Personal Branding atau Penjenamaan Peribadi
Penjenamaan peribadi menjelaskan dan menyampaikan apa yang membuatkan anda berbeza, istimewa dan berharga (nilai tinggi). Memahami , mengenalpasti keunikkan sifat peribadi, kekuatan, kemahiran , nilai-nilai peribadi, semangat membara juga minat anda untuk lakukan sesuatu (passion) – lantas menggunakannya sebagai rujukan untuk membuat segala keputusan dalam urusan harian (peribadi , karier mahupun perniagaan) . Ini secara tidak langsung berjaya mengasingkan, membezakan anda daripada pesaing yang ada.
Dalam erti kata lain, penjenamaan peribadi benar-benar jelas menyampaikan nilai janji anda yang unik yang anda ‘tawarkan’ kepada orang ramai, atau pelanggan (jika anda seorang usahawan).
Penjenamaan peribadi yang berjaya adalah kerana mereka AUTENTIK , bukan yang direka-reka atau dibuat-buat. Ia bermaksud, anda menggunakan nilai peribadi, semangat dan minat (passion) juga kekuatan peribadi untuk membezakan diri anda dengan yang lain, sambil menarik bakal majikan, pelanggan malah pelabur untuk mempercayai jenama anda dan apa jua yang ditawarkan (produk, perkhidmatan mahupun kemahiran). Jenama yang autentik ini jelas, konsisten dan berterusan dalam menyampaikan mesej mereka.
Kaitan dengan penjenamaan imej peribadi (personal image branding)?
Sistem identiti jenama peribadi adalah perbendaharaan kata visual diambil dari komunikasi jenama – iaitu identiti visual.
Bagi anda yang memiliki perniagaan, identiti visual ini meliputi keseluruhan alat tulis, bahan pemasaran, laman web termasuk platform media sosial , pembungkusan produk dan sebagainya.
Manakala kita – sebagai individu yang sentiasa mengimpikan sebuah kejayaan , ingin mencapai visi , misi dan objektif peribadi dalam kehidupan – kita haruslah serius dalam menjaga dan menguruskan imej peribadi. Ia merupakan cara yang paling efektif dan konsisten dalam mewujudkan kesan jenama peribadi yang tidak dapat dilupakan.
Sebagaimana sebuah produk , perkhidmatan mahupun kemahiran dipakejkan – begitulah jua dengan jenama anda.
Imej dan reputasi anda (di mata orang ramai) – itulah jenama peribadi anda – Perunding Imej Emi Idura
Menggunakan elemen penampilan (pengurusan dan penjagaan diri, gaya peribadi), tingkah laku (etiket dan siviliti) , cara anda berkomunikasi (lisan dan bukan lisan), malah ‘penampilan di media sosial’ mampu memberikan impak yang sangat besar kepada keseluruhan imej anda hari ini.
3. Imej Peribadi – Jangan pandang ringan atau ambil mudah akan impak jangka masa panjang
Jika ada yang masih beranggapan bahawa imej itu hanya untuk kaum wanita, perihal berkaitan kecantikan (grooming), golongan bekerjaya dan bekerja di pejabat , usahawan, ahli politik , selebriti atau fokus kepada industri fesyen sahaja..saya harap artikel ini sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi anda itu.
Suka atau tidak, anda telahpun memiliki jenama peribadi (identiti) tersendiri.
Tidak kira usia, latarbelakang akademik, pengalaman, profesion, industri , cabaran kewangan peribadi, bentuk badan…
Dunia , dan masyarakat di sekeliling anda sentiasa melihat (lalu menggambarkan imej anda dalam minda mereka) dalam pelbagai bentuk dan meletakkan anda dalam kategori yang tertentu (mengikut pengalaman mereka yang lalu , masakini, juga pengetahuan sedia ada).
Dari segi pandangan visual , iaitu apa yang anda gayakan, personaliti, bahasa dan gerak isyarat badan , tingkah laku – kehadiran anda di sisi mereka akan menjadi satu rujukan untuk menilai (baik, buruk – positif atau negatif) anda sebagai seorang individu.
Tidak terkecuali, nilai rasional atau rational value dari segi pengalaman , kepakaran atau kemahiran, pengetahuan anda yang unik – ini semua kekuatan peribadi anda yang seharusnya menjadi sebab utama untuk anda lebih berdaya saing menggapai impian atau matlamat kehidupan.
Mulakan penjenamaan imej peribadi anda hari ini, atau anda akan ketinggalan jauh di belakang… – Perunding Imej Emi Idura
Penulis merupakan seorang Perunding Imej , Etiket dan Warna Profesional (UK), Personal Branding Strategist (CPBS-USA), kolumnis di Utusan Malaysia MEGA-Rona dan personaliti TV yang sentiasa mendapat jemputan bagi memeriahkan program seperti TV Al Hijrah Assalamualaikum #Lifestyle malah pernah menjadi hos kepada segmen WOW! Apa Kata Wanita RTM TV1 pada tahun 2017 yang lalu.
Untuk sebarang konsultasi mengenai
- Imej peribadi anda,
- Pertanyaan mengenai program bengkel berkaitan dengan Imej, Etiket juga Grooming di Pejabat, Institusi Pengajian, Persatuan atau, mungkinkah anda…
- Berimpian untuk menjadi sebahagian daripada team Perunding Imej dan Warna Profesional seperti kami , sila hubungi Puan Emi Idura di talian +012-9023625 atau emel top2toestyliesta@gmail.com hari ini !