
Memilih untuk mengenakan baju raya baharu ketika bersiaran secara langsung di program Apa Kata Wanita, RTM TV1 bagi membicarakan topik Fesyen Raya 2017 , tepat 2 minggu sebelum merayakan Syawal , benar-benar telah membuka mata rakan sosial media yang lain, bahawa sebenarnya kita tidak perlu malu dan ianya bukan satu kesalahan untuk mengulangi pemakaian yang sama berulang kali.
Apakah rahsianya untuk merancang bajet koleksi pakaian atau wardrobe anda dengan bijak ?
Ya, saya percaya setiap antara kita hari ini pastinya sangat teruja untuk memiliki sepasang baju baru. Secara tidak langsung, ia memberikan rasa kepuasan , keyakinan diri , menarik perhatian orang ramai , menaikkan semangat ketika terasa bosan, sedih, takut (berdiri di hadapan orang ramai untuk memberi ucapan atau mengendalikan program) dan sebagainya.Yang berkemampuan pasti memperuntukkan bajet membeli belah setiap bulan. Tidak mustahil ada juga yang membeli setiap minggu, setiap 6bulan mahupun setahun sekali dengan jumlah yang besar. Apapun pilihan , tabiat dan corak pembelian hari ini, sebenarnya ada beberapa perkara yang perlu anda ambil tahu dan praktikkan di sesi bershopping akan datang agar pembaziran tidak berlaku.
Membeli mengikut gerak hati
Pernahkah anda terperangkap antara situasi – melihat sesuatu pakaian yang anda minati dan harus miliki, tanpa berfikir panjang terus membelinya , dan kemudian dapati anda tidak langsung mempunyai keinginan untuk memakainya walaupun selepas beberapa bulan tersimpan di dalam almari? Percayalah, anda tidak keseorangan! Membeli tanpa perancangan ibarat melakukan perjalanan jauh tanpa GPS! Pilihan fesyen fad dan padanan yang trendy , berlainan fabrik dan warna yang tidak sesuai pula – akhirnya anda hanya memiliki selonggok pakaian yang tidak boleh disuaipadan antara sama satu lain , semaksimum tiga helai sepertimana strategi asas membeli belah. Saya bayangkan koleksi ini ibarat seperti makanan jajan, datang dengan pelbagai warna, bentuk dan perisa, membuatkan anda membeli tanpa rasa bersalah, dan akhirnya menyebabkan berat badan pula naik mendadak. Sama seperti pembelian mengikut gerak hati –dan tanpa perancangan teliti , bakal memberi kesan kepada anda tanpa di sedari!
Pakaian yang memerlukan cucian dan penjagaan khas
Tudung sutera ringan dipadankan dengan sut linen? Menarik! Tentunya anda tahu bahawa tudung sutera itu perlu dicuci dengan tangan , bukan? Dan sut linen itu pula perlu digosok ? Cara penjagaan, juga kos untuk menjaganya haruslah diambil kira sebelum membeli, bukan selepas memilikinya. Kerana jika sebahagian koleksi pakaian anda hari ini antara yang perlu “dibasuh dengan tangan” mahupun “cucian kering” , maka keputusan memilikinya adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan kerana kosnya yang agak tinggi dan masa yang perlu diperuntukkan untuk mencucinya.
Pakaian baru setiap majlis
Sambutan harijadi rakan. Majlis perkahwinan sepupu. Aqiqah anak saudara. Penyampaian anugerah di majlis PIBG sekolah. Dipanggil menjadi jemputan panel speaker suatu persidangan besar di Pusat Konvensyen di KLCC. Berikut merupakan antara momen penting dan bakal melakarkan sejarah dalam hidup , tentunya anda mahu kelihatan hebat. Jika anda menghabiskan lebih banyak wang untuk memiliki sesuatu rekaan tetapi hanya mengenakannya sekali dalam setahun – berbanding koleksi baju yang boleh dipakai berulang kali, setiap bulan atau sekurang kurangnya sekali dalam setiap tiga bulan , sesungguhnya ia mampu memberikan kesan kepada bajet anda, jadi jangan lakukannya!
Padanan mengikut personaliti gaya
Ramai yang saya percaya terlepas pandang akan strategi ini.
Baju kurung moden peplum , dengan bell sleeves bermanik rekaan dari jenama pereka terkenal, diturunkan harganya dari RM600 kepada RM199 ? Wow, menarik dan hebat , bukan ? Mungkin ya, dan mungkin tidak. Jika anda lebih banyak menghabiskan masa di pusat gym selepas pulang dari kerja , tidak gemar bersolek , tidak gemar menggunakan mahupun memiliki aksesori fesyen, tidak gemar menggosok baju, percayalah, anda tidak mungkin akan memakai baju itu tadi walaupun ianya satu trend masakini. Wanita sebegini, mereka lebih gemar memiliki koleksi rekaan tradisional seperti kurung, kebarung, kurung Kedah , kurung Pahang yang ringkas berbanding rekaan moden dan in trend. Walaupun secara umumnya, penurunan harga sebanyak RM401 dari harga sebenar dianggap sebagai ‘rugi jika tidak dimiliki’ , tetapi jika ia tidak menepati personaliti gaya seseorang, percayalah, saya sarankan agar anda mempertimbangkan semula keinginan memiliki baju tersebut. Daripada ia disangkut di almari pakaian bertahun-tahun lamanya tanpa diusik, dan sebelum anda bercadang untuk memakainya pada tahun ketiga , fesyen tersebut sudahpun tidak diminati. Ingin menjadi pembeli yang bijak? Tinggalkan ia semula di rak pakaian, ya lupakan sahaja niat membelinya tadi.
Tidak begitu gemarinya, tetapi rekaan pereka terkenal, malah diskaun lebih 50% pula!
Saya pasti ia bukan sahaja berlaku kepada anda, tetapi saya juga secara peribadi.
“Rekaan pereka terkenal, diskaun pula lebih 50% – ruginya jika tidak memiliki!” bisik kata hati.
Pesan saya – jangan biarkan jenama dan label pereka fesyen itu mempengaruhi keputusan pembelian anda. Bayangkan jika anda tidak menggemari rekaan yang ada di depan mata, percayalah, tidak sesekali anda akan suka akan rekaan ini pada tahun-tahun akan datang.
Tanya diri sendiri, bagaimana pula jika ianya bukan rekaan dan jenama pereka terkenal, adakah anda tidak teragak untuk memilikinya juga ? Jika tidak, lupakan sahaja. Simpan duit dan ruang wardrobe untuk sesuatu yang mampu milik dan tentunya yang sesuai dengan anda satu hari nanti.
Kos setiap penggunaan
Ini antara strategi bijak yang patut dipraktikkan oleh semua. Sebab itu perancangan rapi dalam mengenalpasti jenis majlis yang perlu dihadiri dalam setahun, jenis pekerjaan anda , industri perniagaan syarikat, kod pakaian ke pejabat, juga mesej dalam pemakaian sangat penting. Mulakan dengan menyenarai aktiviti mingguan, bulanan juga tahunan , dan bajet yang diperuntukkan baik untuk diri sendiri mahupun keluarga.
Tidak salah memiliki pakaian berjenama , label terkenal dengan harga yang mahal, tetapi haruslah bijak dalam mengenalpasti kos setiap kali penggunaan baju tersebut . Ia benar-benar membantu anda untuk membuat keputusan untuk memilikinya atau sebaliknya.
Sebab itu jugalah, anda sebenarnya tidak perlu malu untuk mengulangi pemakaian yang sama kecualilah kedudukan kewangan anda mengizinkan untuk memiliki seberapa banyak koleksi yang anda perlukan tanpa banyak persoalan. Praktikkan strategi wardrobe kapsul juga teknik warna-warna harmoni menghasilkan skim warna complimentary, analogous, monokromatik dan sebagainya untuk mendapatkan hasil maksimum dalam gaya.
Selamat mencuba!
Untuk mendapatkan khidmat runding penulis, sesi secara peribadi atau bercadang untuk mengadakan bengkel, juga program melibatkan latihan di peringkat jabatan atau korporat, sila hubungi beliau di :-
top2toestyliesta@gmail.com | +012 9023625
Like this:
Like Loading...