Kontras dalam Gaya

Kontras dalam Gaya.jpg

Antara soalan lazim yang biasa saya terima, sebagai penceramah atau trainer di kebanyakan program yang dijalankan…

Yang saya takrifkan sebagai kekeliruan pemilihan kontras warna di dalam penggayaan..

Soalan peserta :
Puan Emi, betul ke … wanita yang berkulit putih , lebih sesuai dengan warna yang lebih gelap. Wanita yang berkulit gelap pula, sebaliknya?

Yang pertama sekali, pandangan itu tidak semuanya benar. Ada sebab-sebab tertentu dan ini antara jawapan saya dan strateginya..

1. Antara ketiga-tiga gambar di atas, soalan saya kepada anda…
Adakah anda nampak
– Oprah kelihatan harmoni dan serasi dengan baju-bajunya
atau
– Oprah ditenggelami di sebalik kontras warna bajunya.
Bermaksud, hanya nampak warna baju, Oprah tidak menyerlah ??

Jawapan anda ?

2. Perbezaan tona warna rambut vs kulit

– kenalpasti tona warna rambut
Sangat gelap (hitam pekat), cerah, atau sangat cerah (blond)
(mengikut skala 1-10)

– kenalpasti tona warna kulit
Sangat gelap , medium , atau sangat cerah (fair)
(mengikut skala 1- 10)

Perbezaan antara dua di atas akan menentukan kontras warna hijab, atau baju anda.

Kes : Oprah Winfrey
– Tona warna rambut : 1
– Tona warna kulit : 2 atau 3

Perbezaan 1 atau 2 mata (rendah)
Disebabkan itulah beliau lebih sesuai dengan kontras warna baju yang lebih rendah , dikatakan lebih harmoni dengan warna kulitnya.

Bagaimana pula dengan mereka yang cerah , dan berambut hitam pekat seperti Katy Perry pula ?

Nahh, bagaimana …
Dah dapat sedikit strategi bagaimana memilih kontras warna ?

Sudah tentu ada beberapa lagi strategi yang saya teruja nak berkongsi dengan anda.

Untuk mendapatkan lebih info cara bagaimana untuk mendapatkan warna kontras anda secara peribadi…jangan lupa hubungi team kami untuk tarikh workshop terdekat bulan April ini ! Hubungi +012 9023625 atau top2toestyliesta@gmail.com untuk maklumat lebih lanjut…

Obses Menjadi Warda!

muslimah-fashion-neelofa-32erpwpr9qxqw8c6rzteyo

Demam Warda Erina belum berakhir.

Sejak drama tv Suri Hati Mr Pilot yang popular ini berakhir beberapa minggu lepas, pelbagai komen dan status yang dimuatnaik di media sosial yang saya lihat. Menariknya , begitu ramai sebenarnya yang ingin menjadi Warda!

Mengulas kembali artikel ke 54 yang lalu , benar saya memang menyarankan kepada semua iaitu untuk menghasilkan kesan tanggapan pertama yang berkekalan , kita harus konsisten dalam menampilkan imej yang baik dan positif. Gabungan elemen imej yang merangkumi keseluruhan penampilan , tingkah laku dan cara komunikasi berkesan memberikan impak yang sangat hebat kepada seseorang individu itu. Ia ibarat satu pakej yang lengkap dan tidak hairan mereka mampu menjadi sebuah jenama yang sangat diyakini dan idola semua.

Di sebalik obses dan keterujaan menjadi Warda.. antara status yang mencuit hati dan membuatkan saya tergelak membacanya adalah …

Pengajaran untuk hari ini ; Apa yg cantik Warda pakai, belum tentu cantik kita pakai

 Walaupun tulisan saya minggu lepas kedengarannya ibarat  menyeru anda semua untuk mengikuti jejak langkah Warda , tetapi di sebalik maksud tersiratnya adalah , belajar bagaimana Neelofa sentiasa  bijak mengekalkan tona warna hijab yang sesuai dengannya secara konsisten. Bukan menjadi seperti Neelofa, tetapi lengkapkan diri dengan ilmu yang perlu untuk anda menjadi konsisten seperti beliau.

Bagi anda yang pertama kali membaca tulisan saya di sini, jom saya kongsikan sedikit sebanyak strategi dan fakta yang perlu anda tahu …

Contoh soalan

Kenapa saya pakai tudung seperti Warda , tetapi ia seakan tidak sesuai dengan saya?

Jawapan pertama: WARNA

Warda Erina banyak bermain dengan koleksi hijab warna-warna pastel. Tona warna lembut, cerah seperti pastel ini tergolong di dalam kategori warna-warna sejuk atau di dalam bahasa analisis warnanya bermaksud , cool undertone.

Setiap antara kita hari ini, memiliki undertone berbeza antara satu sama lain. Kemungkinan anda seorang yang berundertone sejuk atau panas , dan kebarangkalian neutral pun ada (tetapi jarang sekali).

Berlainan dengan apa yang anda sering dengar mengenai skin tone atau tona kulit (luaran). Tona kulit luaran ditentukan dan dipengaruhi oleh faktor seperti pendedahan kepada sinaran matahari , tetapi undertone ini pula tetap tidak akan berubah. Melalui rujukan The Journal of Nutrition, melanin dan keratin adalah dua daripada tiga pigmen yang menentukan warna kulit seseorang itu. Pigmen ketiga adalah hemoglobin. Ketiga-tiga pigmen terhasil di dalam lapisan epidermis kulit. Menurut American Academy of Dermatology pula, melanin adalah pigmen yang paling bertanggungjawab untuk menentukan warna kulit. Setiap individu menghasilkan tahap melanin yang berbeza . Lebih pengeluaran melanin bermakna kulit bertambah coklat atau hitam gelap, manakala pengeluaran melanin sedikit menyebabkan kulit yang sangat putih. Keratin pula adalah pigmen kulit yang menyebabkan kulit kekuningan . Naturally Healthy Skin menyatakan bahawa kulit yang kekuningan merupakan petunjuk terlalu banyak keratin di dalam badan yang disebabkan oleh penggunaan beta-karotena berlebihan di dalam pemakanan. The Journal of Nutrition menyatakan bahawa hemoglobin bekerja bersama dengan melanin dan keratin untuk menghasilkan warna kulit. Hemoglobin adalah molekul yang membawa oksigen ke seluruh badan dan bertanggungjawab menghasilkan sentuhan merah jambu kepada kulit. Jumlah yang berbeza daripada ketiga-tiga pigmen inilah yang menghasilkan tona kulit yang unik kepada setiap individu.

123

Nah, bagaimana ? Anda sudah mendapat sedikit gambaran kenapa setiap individu itu mempunyai undertone yang berbeza ? Ianya boleh ditentukan oleh beberapa ujian yang dilakukan oleh seorang Perunding Imej dan Warna bertauliah dan antaranya adalah melalui ujian warna urat di pergelangan tangan, ujian aksesori untuk mencari kesesuaian dengan warna perak atau emas, ujian alatan ‘color drape’, dan beberapa teknik lain.

Dan menjawab lagi kepada pertanyaan di atas tadi, kenapa ia sangat sesuai dengan Warda atau model-model tudung hijab yang lain –

Ini kerana majoriti model busana Muslimah hari ini, dipilih dari kalangan mereka yang putih mulus dan cenderung kepada undertone sejuk atau Cool Undertone. Manakala sudah menjadi trend dan kebiasaan pengeluar produk hari ini untuk lebih cenderung menawarkan koleksi tudung di bawah warna bertona sejuk berbanding warna-warna hangat. Keduanya, anda juga perlu tahu bahawa, realitinya gambar-gambar model itu telahpun diphotoshop dan diedit sebegitu rupa sehingga kelihatan tiada cacat cela di mukanya walaupun berjerawat  (ya, solekan juga memainkan peranan utama di sini)

Jawapan kedua : Bentuk Muka

Antara fakta penting yang perlu anda tahu – Warna-warna cerah dan lembut seperti warna-warna pastel ini bukan sahaja melebarkan muka anda, malah bagi yang bermuka bulat atau bersegi, ia akan menambahkan lagi kebesaran saiz muka anda dari biasa.

Kalau sudah berbentuk bulat, maka bertambah bulatlah muka anda.

unnamed-3

Strategi yang terbaik adalah mengenalpasti bentuk muka anda, dan tanya diri sendiri – adakah anda ingin kelihatan sedikit kurus dengan  mengaplikasikan teknik penyamaran bijak mengenakan tona warna hijab yang sedikit gelap , selain teknik gaya solekan yang memberikan visual muka yang sedikit langsing? Jika anda kurang mahir bersolek, maka gunakan teknik penyamaran tona warna tudung itu tadi sebagai pilihan.

Jawapan ketiga : Personaliti Gaya

Walaupun seakan nampak natural dan biasa-biasa sahaja, tetapi sebetulnya Warda menampilkan personaliti gaya klasik elegan dan romantik. Adakalanya sedikit sentuhan gaya dramatik dengan pilihan warna baju yang terang , design baju yang mewah dan kasut platformnya itu.

Screen Shot 2016-11-29 at 7.20.32 PM.png

Jika anda seorang yang simple dan sporti , suka kepada sesuatu yang natural – tidak hairan jugalah kenapa anda merasakan gaya Warda seakan tidak sesuai dengan personaliti anda hari ini. Hijabster pula hanyalah trend sementara yang tidak akan bertahan lama sebagaimana personaliti gaya klasik ini yang tidak lapuk ditelan dek zaman. Melalui konsultasi dan ujian soal selidik personaliti gaya yang biasa saya adakan, kebanyakkan wanita dapat mengenalpasti secara mudah jenis personaliti gaya mereka dan memudahkan lagi untuk memilih dan mengenakan gaya yang sesuai dengan imej mereka hari ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

8 Perkara Anda Perlu Tahu : Etiket Di Tandas Lelaki

Etiket di tandas lelaki yang perlu anda tahu..

Ya, jarang-jarang sekali kita membicarakan topik ini bukan?

Jom kita lihat 8 perkara yang patut dipraktikkan dan perlu dielakkan ketika membuat ‘urusan’ di tandas..

1234

Bijak Bershopping Elak Pembaziran – Kenali Jenis Fesyen Di Pasaran!

trends.jpgDi dalam dunia fesyen, gaya dan rekaan akan sentiasa berubah-ubah. Apa yang menjadi trending musim ini , mungkin akan menjadi ‘out-dated’ pada tahun seterusnya. Malah, ada juga gaya yang tidak mampu bertahan walaupun hanya baharu sebulan ia dipasarkan. Jadi, tidak hairanlah jika seseorang itu sanggup membelanjakan gaji bulanannya dan berhutang secara kredit , semata-mata untuk tampil kekal bergaya dengan mengikuti aliran fesyen semasa tanpa arah tujuan dan objektif pembelian.

Secara peribadi , saya sangat percaya, ia juga mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan fenomena global yang dipanggil ‘selfie’ – atau ‘self-portrait of the digital age’ yang memaksa generasi muda hari ini untuk ber-‘ootd’ melalui halaman sosial media popular seperti Instagram dan Facebook untuk menunjukkan gaya dan fesyen terbaru milik mereka.

Pada masa yang sama, ia menjadi satu obses yang memakan diri sendiri, apatah lagi jika tidak dibendung dan diberi kesedaran meluas, itulah yang menyebabkan kita mendengar ramai graduan di bawah 30 tahun hari ini diisytihar muflis – sanggup membuat pinjaman bank dan menggunakan kad kredit semata-mata untuk hidup mewah dan di luar kemampuan mereka. “Kebanyakannya cenderung untuk membeli gajet terbaharu, pakaian mengikut trend , selain tujuan membeli kereta dan bayaran pinjaman perumahan”, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) , Azaddin Ngah Tasir di dalam sebuah temubual bersama media baru-baru ini.

fdc100fc9b524b3f2e874f097186fd07.jpg

Walau bagaimanapun, berbalik kepada keterujaan untuk memiliki gaya dan fesyen terbaharu di pasaran, masih boleh dikawal, jika masyarakat atau penggemar-penggemar fesyen ini mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang perbezaan antara fesyen fad, trend dan juga klasik. Malah ia boleh memberikan anda panduan secara bijak daripada terus membiarkan diri terpesona dengan fesyen semasa dan tergolong di dalam kategori mangsa fesyen.

1)     Fesyen Fad

Cara yang paling mudah untuk mengkategorikan fesyen fad ini ialah – fesyen yang tidak kekal lama. Secara lazimnya, fesyen fad ini mampu bertahan untuk semusim atau 3 bulan sahaja, tetapi ia juga mampu berakhir di dalam tempoh sesingkat sebulan! Fad ini terhasil daripada pilihan fesyen terkini. Sebagaimana cepatnya ia dikeluarkan , begitu cepat juga ia akan dilupakan atau lenyap dari pasaran. Bagi memudahkan anda mengenalpasti fesyen fad ini – suatu fesyen yang tidak pernah terlihat di pasaran, in-trend katanya , satu kegilaan ramai ! Walaupun mengenakan fesyen fad ini adakalanya menyeronokkan (kerana kelebihan pada trending semasa, rekaan terkini , jenis fabrik , warna yang menonjol dan terang), kebanyakkan masa ia merupakan satu pelaburan yang tidak berbaloi , baik dari segi kewangan mahupun masa.

2.png

2)     Trend Fesyen

Trend fesyen pula mempunyai jangka hayat yang lebih lama dari koleksi fesyen fad. Malah, ia masih boleh bertahan dari 2 hingga 4 tahun sehingga mencapai satu dekad. Perbezaan utama di antara fesyen fad dan trend fesyen ini adalah , trend mempunyai potensi pengaruh jangka-masa panjang di dalam pasaran . Di samping itu, trend sering melibatkan koleksi fesyen klasik yang telah diubah. Sebagai contoh, ada warna tertentu telah diisytiharkan sebagai sebuah ‘trend’ . Sekitar tahun 2014, warna-warna oren dan biru dikatakan telah mendapat banyak perhatian penggemar fesyen. Walau bagaimanapun, oren dan biru ini adalah warna-warna klasik; dalam erti kata lain, fesyen klasik yang telah diisytiharkan sebagai satu ‘trend’ pula.

Soalan seperti ‘Bagaimana pula hendak mengenalpasti fesyen trend ?’ , pasti bermain di fikiran anda ketika waktu ini, bukan?

Ya, fesyen trend ini adakalanya agak sukar untuk dikesan, tetapi apa yang saya boleh sarankan di sini , satu peraturan yang anda boleh pertimbangkan ketika ingin menilai bahawa sesuatu fesyen itu fesyen trend atau klasik adalah dengan bertanyakan kepada diri sendiri “Adakah saya pasti, saya masih akan sukakan fesyen ini dalam tempoh lima tahun akan datang ?” Jika jawapannya lebih kepada ya, dan ianya mungkin satu rekaan yang telahpun anda lihat berada di pasaran beberapa tahun yang lepas, tetapi diubah sedikit – kemungkinan fesyen tersebut merupakan sebuah rekaan fesyen klasik , atau pembaharuan klasik , kedua-duanya pun mampu membuatkan si pemakainya kelihatan bergaya dan hebat. Salah satu contoh fesyen trend yang boleh saya kaitkan di sini adalah fesyen turban yang sehingga kini masih popular sejak ia diperkenalkan dan diperagakan oleh penyanyi tahahair Yuna , selain YouTube vlogger terkenal dari Britain seperti Dina Tokio.

1.png

3)    Fesyen Klasik

Koleksi fesyen klasik agak sukar untuk dilupakan apatah lagi untuk kita terlepas pandang darinya. Tidak lapuk ditelan zaman , ia lebih mudah dikenalpasti. Dari segi aksesori perhiasan seperti berlian, batu permata, koleksi mutiara, ia sering menjadi peninggalan harta pusaka, turun temurun keluarga kerana potongan klasiknya juga kerana ia mempunyai nilai yang sangat tinggi, selain mampu bertahan berdekad lamanya. Atas kelebihan ini, ia juga mampu menyerlahkan penampilan seseorang individu itu , walaupun terpaksa bersaing dengan kebanjiran fesyen semasa.

Satu artikel yang menarik perhatian saya baru-baru ini, dan dikeluarkan oleh laman web marieclaire.co.uk , di mana satu kaji selidik telah dijalankan oleh pakar bag tangan vintage Baghunter, dan mereka mendapati bahawa ; di dalam 6 tahun yang lepas sahaja, nilai bag tangan Chanel telah meningkat sebanyak 70%. Ketika pertama kali, bag Chanel 2.55 flap dilancarkan pada bulan Februari 1955, harga runcitnya adalah US$220 (sekitar £154) . Pada 90-an , harganya mencecah US$1,150 (£ 810) dan hari ini harganya pasti membuatkan anda terpaku seketika, apabila ia dijual dengan harga setinggi US$4,900 atau (£ 3,493)!

Saya tidak sesekali menyarankan anda memilih fesyen klasik sebagai koleksi wardrobe anda semata-mata , tetapi bagi mereka yang berkemampuan, ia tentunya merupakan satu bentuk pelaburan jangka masa panjang yang sangat berbaloi dan sesuai digunakan walaupun berdekad lamanya. Aplikasikan strategi Price Per Wear seperti yang selalu saya sarankan , jika fesyen klasik menjadi pilihan utama anda.

3.png

Setelah mengenalpasti jenis-jenis fesyen yang ada, sudah pasti anda ingin mengetahui bagaimana pula caranya untuk memilih , menggunakan dan menyuaipadankan fesyen semasa ini agar ianya sesuai dengan personaliti anda hari ini , bukan?

Jika tidak mengikuti fesyen semasa, anda dikatakan ketinggalan zaman. Tetapi jika anda gemar kepada pakaian trendy dan memilih untuk menggayakan setiap fesyen yang dikeluarkan oleh majalah dan selebriti popular hari ini pula, berkemungkinan anda akan dilihat sebagai seseorang yang pelik atau terlalu mencuba.

Itulah sebabnya adalah penting untuk mempunyai pengetahuan asas dalam aspek penggayaan dan bagaimana menguruskan imej peribadi anda.

Trend fesyen terkini mampu meningkatkan keterujaan untuk memilikinya setiap kali ia dikeluarkan di pasaran , tetapi berubah dengan pantas pula sehingga menyebabkan kewangan kita tidak mampu untuk mengikutinya.

Jadi , bagaimana untuk memastikan anda memilih jenis fesyen ini dengan tepat ? Bagaimana pula untuk menyesuaikan diri dengan lambakan trend fesyen semasa ?

Jangan lupa!
Pastikan anda ‘follow’ blog kami dengan menekan butang ‘YES, COUNT ME IN!’ di laman utama, bagi mendapatkan strategi-strategi dan tips yang kami bakal kongsikan di artikel seterusnya!

 

Pilihan Baju Kurung Mengikut Bentuk Badan

RandyFenoliTLC

‘Walau apa jua cabaran bentuk badan anda hari ini, percayalah – pasti akan ada pakaian yang mampu membuatkan anda kelihatan hebat!’

Kata-kata yang dilontarkan oleh Randy Fenoli, selaku Pengarah Fesyen di Kleinfeld Bridal yang terletak di Manhattan Amerika Syarikat ini , membuatkan saya terus mencapai telefon pintar untuk merakam dan mencatat nota dari nasihat diberikan beliau.

Sejujurnya ini bukanlah kali pertama saya menonton siri realiti tv ‘Say Yes To The Dress – Randy Knows Best’ , melalui saluran TLC di Astro 707 ini. Tetapi , sebagai individu yang sentiasa dahagakan ilmu , saya sangat suka mengikuti, menonton dan mempelajari bagaimana mereka yang pakar dan berjaya di dalam industri fesyen ini , memberikan nasihat dan khidmat runding kepada pelanggan dan ternyata, saya mampu tersenyum dan menarik nafas lega – dengan apa yang saya usahakan dan pelajari sehingga ke luar negara selama ini , tidaklah sia-sia.

Artikel berkenaan pilihan pakaian pengantin ? Oh tidak. Mungkin saya boleh pertimbangkan isu seperti ini untuk artikel-artikel yang akan datang. Memilih untuk meneruskan edisi khas Hari Raya sepanjang beberapa minggu ini sehingga minggu terakhir Ramadhan nanti, saya masih ingin memfokuskan kepada beberapa isu yang boleh membantu pembaca semua menjadi pengguna yang bijak , dengan menyenaraikan strategi merungkai rahsia WOW faktor anda dan teknik-teknik pengurusan imej yang ringkas walaupun saya akui bagi anda yang pertama kali membaca penulisan saya, mungkin merasakan terlalu banyak langkah-langkah yang perlu diikuti.

Khas untuk anda, bagi yang tidak jemu mengikuti artikel saya setiap Rabu di ruangan Bicara Imej dan Fesyen , minggu ini saya masih ingin menyambung strategi membeli belah sempena menyambut bulan yang mulia ini, awal Julai hadapan.

Menariknya , dalam beberapa minggu ini , saya kerap menerima soalan-soalan daripada beberapa followers media sosial dan peserta program juga klien saya yang lepas , yang ingin mendapatkan kepastian akan jenis baju yang sesuai dengan bentuk badan mereka , termasuk jenis kasut dan aksesori yang bakal menyerikan pagi Syawal nanti.

0207LT08_8.transformed.jpg
http://www.innaired.com

Sebenarnya , berbalik kepada rancangan realiti TV ‘Say Yes To The Dress – Randy Knows Best’ itu tadi, apa yang paling penting , ketika memilih sesuatu pakaian (selain mengenalpasti undertone anda) adalah bentuk badan seseorang individu itu sendiri. Seperti kata hosnya Randy, setiap wanita adalah istimewa – yang saya percaya, punyai kelebihan dan kekurangannya masing-masing. Ada yang hadir dengan cabaran memiliki pinggul yang lebih menonjol dan lebar dari saiz bahunya, ada pula yang petite. Bagi yang memiliki bahagian dada yang besar , perut ‘muffin tops’ – lain pula kerenahnya. Ya , ada juga cabaran dengan pelanggan yang memiliki kaki yang panjang (berbanding dari bahagian atas pinggang) dan memilih untuk menonjolkan asetnya. Di sebalik kebolehan untuk mengetahui bentuk badan pelanggan yang hadir di kedai pengantinnya , Randy juga harus mahir untuk mengenalpasti personaliti gaya si pelanggan itu tadi. Ternyata semua itu boleh dicapai melalui pilihan jenis fabrik dan rekaan yang dipilih sehingga mereka (pelanggan itu tadi) mengatakan ‘Yes’ kepada pakaian pengantin tersebut.

Apakah harga dan jenama turut memainkan peranan di sini?

Bagi saya, apabila anda sudah mahir dengan jenis rekaan , fabrik yang terbaik untuk bentuk badan anda, harga dan jenama tidak lagi menjadi keutamaan di sini. Pastikan juga anda mengambil tahu jenis undertone terbaik anda sebagai salah satu elemen utama ketika membeli belah. Tidak saya nafikan adakalanya , barangan yang berkualiti datangnya dengan harga yang agak tinggi dari biasa. Apa lagi jika ia mempunyai jenama yang kukuh dan terkenal di pasaran. Tetapi percayalah, selagi kita mampu dan punyai masa untuk membuat perbandingan di antara pengeluar dan pengusaha yang ada, saya pasti anda akan temui sesuatu yang hebat dengan harga yang lebih rendah! Ya, sudah tentu saya berbicara atas pengalaman saya sendiri , sebagai pengguna , pemerhati fesyen , Personal Shopper dan juga atas kapasiti seorang Perunding Imej.

Baiklah, sambil-sambil kita melayan artikel ini, apa kata kita pastikan dahulu jenis bentuk badan anda ?

  1. Bentuk ‘Hourglass’ – ini merupakan bentuk paling ideal kerana mengagihkan berat sama rata antara bahagian atas dengan bawah tubuh badan seseorang. Saiz bahu dan pinggul adalah sama dengan pinggang yang lebih kecil dan ramping, mempunyai perbezaan ukuran sehingga 10inci!
  2. Bentuk ‘Ruler’ – Ibarat namanya, mereka yang berbentuk ruler tidak mempunyai bentuk pinggang ramping yang ketara seperti si ‘hourglass’. Kebanyakkan waktu ukuran bahu dan pinggul adalah sama.
  3. Bentuk ‘Pear’ – paling mudah untuk dikesan , badan yang berbentuk ‘pear’ memiliki visual pinggul yang lebih lebar dari saiz bahunya.
  4. Bentuk ‘Apple’ – Saiz pinggang yang lebih lebar dari dada dan pinggul. Menurut kajian yang dijalankan , majoriti mengatakan mereka mudah ‘naik badan’ di bahagian perut berbanding pinggul. Inilah yang membezakan si apple dan si pear apabila mencari pakaian yang sesuai.
  5. Bentuk ‘Inverted Triangle’ atau Segitiga Terbalik – Saiz bahu yang lebih lebar dari saiz pinggulnya. Mereka yang gemar bersukan seperti renang (dari sejak kecil) boleh membentuk siluet badan sebegini apabila dewasa.

Screen Shot 2016-01-27 at 3.44.05 PM

Okay, sempena artikel Edisi Raya kali ini saya akan mengfokuskan kepada pakaian tradisional kita , iaitu jenis-jenis baju kurung. Selaras dengan peredaran zaman, kini pelbagai busana rekaan moden telah muncul dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. Walaupun rekaan baju kurung sekarang lebih kontemporari , dengan pelbagai hiasan seperti manik, labuci , kerawang dan material baju yang bukan lagi menggunakan kain cotton (kapas) tetapi yang penting , ia masih mengekalkan ciri-ciri keasliannya.

  1. Baju kurung Teluk Belanga atau Cekak Musang –Baju kurung merupakan salah satu pakaian tradisional popular, dikatakan sangat ‘versatil’, ‘evergreen’ dan sering menjadi pilihan wanita hari ini kerana selain Hari Raya, ia juga boleh digayakan pada majlis-majlis rasmi dan keramaian seperti perkahwinan. Sebenarnya walaupun baju kurung ini dianggap baju yang paling senang untuk digayakan tidak kira bentuk badan, yang paling penting adalah fabrik atau jenis materialnya, selain corak dan hiasan yang ada pada baju tersebut. Di antara strategi utama ketika mengambil kira corak , hiasan dan jenis fabrik ini adalah, dengan memastikan di manakah kekuatan (aset) dan kekurangan bentuk badan anda. Seperti contoh, jika badan anda berbentuk pear, maka kekurangan anda adalah di pinggul , dan aset anda pula di bahagian atas badan . Manakala si apple pula , asetnya pula akan bertumpu di bahagian pinggul ke bawah, dada dan perut merupakan kekurangan yang perlu ditutup . Kurangkan pemilihan dan penggunaan corak , hiasan dan jenis material yang boleh membuatkan bahagian badan yang ingin ‘ditutup’ itu tadi nampak menyerlah. Sebaliknya , biarkan ianya dengan warna-warna polos, gelap, dan sekiranya bercorak pastikan ianya sesuai dengan saiz badan anda (kecil, sederhana, besar).

baju kurung.jpg

Kurung bercorak penuh sangat ideal buat mereka yang berbentuk hourglass mahupun ruler.

Bagi yang berbentuk pear pula (gambar no.2) – pemilihan warna gelap di bahagian atas badan dan padanan corak di bahagian bawah merupakan yang paling ideal cuma hati-hati dengan rekaan di pergelangan tangan yang kelihatan separas dengan pinggul boleh membuatkan mata yang melihat akan terus memandang ke arah itu. 

Pilihan fabrik yang bersinar dan memantulkan cahaya seperti kain satin mahupun silk (gambar no.3) pula membuatkan badan si pemakainya akan kelihatan besar dari biasa… Selain itu, labuh kain sehingga melebihi paras lutut sehingga betis bukanlah strategi yang paling berkesan jika si pemakainya ingin kelihatan tinggi. 

2. Baju kurung Kedah – Dipercayai berasal dari selatan Thai , baju yang menyerupai blaus pendek , longgar dan singkat ke paras punggung, dan digayakan dengan kain seakan kain sarung. Disebabkan rekaan bajunya yang sebegini , maka saya sarankan kepada mereka yang berbentuk pear agar tidak memilih rekaan kurung Kedah kerana ia menonjolkan lagi bahagian pinggul anda bukan menyembunyikan.

kurung kedah .jpg

Bagi yang petite , kaedah skim warna monokromatik boleh membantu memberi peranan membuatkan si pemakainya kelihatan lebih tinggi (gambar no.1) 

Manakala bagi yang berbentuk pear pula, rekaan kurung kedah dengan potongan di pinggul bukanlah pilihan baju yang terbaik, terutamanya jika terdapat perbezaan pilihan warna ketara antara bahagian atas badan dan bawah. Gambar no.2 di atas masih boleh diterima , hanya kerana pilihan warna harmoni tetapi masih tidak dapat menepati objektif pemakaian – untuk kelihatan lebih kurus atau menutupi kawasan pinggul itu tadi. 

Kurung kedah kontemporari dan sentuhan moden , dengan rekaan corak di atas (gambar no.3) amat sesuai buat si ruler atau hourglass yang ingin menampilkan bentuk badan yang ramping .

3. Baju kurung Pahang – Rekaan sebegini sangat cantik dipakai untuk wanita hourglass juga berbentuk ruler kerana ia menonjolkan lagi bahagian aset (pinggang) yang ramping. Tidak salah wanita pear ingin memilih kurung Pahang ini tetapi biarlah bahagian atas bajunya diserikan dengan sedikit hiasan atau aksesori yang lebih menonjol agar mata yang melihat tidak tertumpu kepada bahagian pinggul yang besar itu tadi. Mereka yang mempunyai bahu yang lebar (inverted triangle) juga akan kelihatan lebih cantik dengan rekaan Kurung Pahang ini, tetapi pastikan juga agar bahagian bahunya tidak dilengkapi dengan sebarang padding.

kurung pahang.jpg

4. Baju kurung Peplum – Satu sahaja pesan saya buat anda – jangan terpedaya dengan rekaan seperti kurung peplum ini , yang anda anggap dan yakin bahawa jahitan pleatednya boleh menyembunyikan perut anda yang besar. Kurung peplum ini juga sangat sesuai buat si hourglass dan ruler kerana rekaannya lebih tertumpu kepada bahagian pinggang dan jahitan pleated itu sendiri bertujuan untuk menampakkan visual badan yang lebih berisi dan seimbang.

 

kurung peplum.jpg

Pilihan jenis kurung peplum (gambar no.3) di mana labuh bajunya boleh mencecah sehingga ke paras pinggul (bahagian belakang) amat tidak sesuai untuk mereka yang berbentuk apple ataupun pear. Jahitan pleated di peplum itu sendiri akan membuatkan si apple kelihatan lebih besar di bahagian perut, manakala pleated di bahagian belakang pula membuatkan mata akan memandang ke paras pinggul di mana jahitan (seam) itu berakhir. Ia bakal menyerlahkan lagi kekurangan badan anda bukan menutupinya.